Sabtu, 23 Oktober 2010

Plagiat Karya Usman Awang Dlm Perhimpunan Agung UMNO




Seorang Perdana Menteri seharusnya tahu menghormati harta intelek orang lain dengan cara menyebut nama pengkarya terhadap setiap karya yang dipinjam atau digunakan di dalam sesuatu ucapan supaya tidak menimbulkan salah faham orang yang mendengar.

Anak saya berasa terkejut mendengar ucapan dasar PM pada perhimpunan agung UMNO baru-baru ini. "Eh, kenapa macam sajak Usman Awang?" Begitu enak kata-kata PM itu sehingga mendapat sorakan dan tepukan audien yang mendengarnya. Apa sudah tidak ada idea sangatkah PM sehingga sanggup menggunakan karya orang lain?

Bajet 1Malaysia

Sebagai cikgu bahasa, rasa nak marah juga bila perkataan “belanjawan” ditukar kepada “bajet” yang berasal dari perkataan Inggeris “budget”. Teringat kepada Cikgu Kamarudin yang ajar BM semasa di SDSR dulu. Dia cakap, selagi ada perkataan Melayu jangan sewenang-wenangnya guna perkataan Inggeris yang dimelayukan. Begitu kuat jatidiri Malaysia di kalangan guru-guru Bahasa Malaysia ketika itu. Rasa nak suka pun ada bila dengar perkataan “bajet” dari mulut budak-budak sekolah bila bergaduh sesama sendiri. “Bajet” yang itu bermaksud “macam bagus”.

Apapun Bajet 2011 telah dibentangkan. Terima kasihlah kepada kerajaan kerana memberi bantuan RM500 untuk persekolahan anak-anak. Dengan bantuan itu, boleh juga dibelikan pakaian sekolah barang sepasang seorang kepada anak-anak yang lima orang itu. Kata menteri, kerajaan tidak dapat memberi bonus kepada kakitangan awam bimbang akan meningkatkan defisit belanjawan. Jadi, kakitangan awam kenalah faham dan berbelanjalah dengan bijak.

Dalam pada itu, tahniah buat ustaz dan ustazah KAFA yang menikmati kenaikan elaun kepada RM800 sebulan. Murah sungguh rezeki mereka. Mengajar 6 jam seminggu pada waktu petang boleh menjana pendapatan RM800 sebulan. Kalaulah ayah tidak menghalang niat belajar di SMKA dulu… Bukanlah dengki (iri hati sikit je), kenapa ustaz dan ustazah sahaja yang diberi peluang untuk menambah pendapatan dalam bidang pendidikan? Sedangkan guru biasa tidak dibenarkan mengajar tuisyen di luar. Apalah yang dapat dilakukan oleh guru-guru untuk menambah pendapatan selain daripada meniaga direct selling atau MLM yang belum tentu mendatangkan untung itu.

Tahniah juga buat JKKK, JKKP, Imam dan Tok Batin yang menikmati laba daripada bajet kali ini. Harap “faham-faham aje” lah isyarat kerajaan kepada kalian yang menjadi ketua masyarakat. Kalau mahu terus kekal dalam jawatan ini, pandai-pandailah buat kerja kerana di belakang anda ada beratus-ratus tangan yang mahu menikam untuk mengambil alih.

Tidak ketinggalan juga kepada mereka yang suka “shopping” dan melaram dengan barangan import kerana duti import untuk barangan seperti tas tangan, pewarna rambut, seluar dalam dan seumpamanya itu telahpun dikurangkan. Semoga pengurangan itu dapat memberi manafaat kepada golongan “makcik Kiah”.

Berita baik buat Mas Joko! Malaysia bakal membina menara 100 tingkat tidak lama lagi. Ini bermakna pintu rejeki Mas dan rakan-rakan terbuka luas. Lupakan “Ganyang Malaysia” dan datanglah bikin bangunan di sini. Hasilnya pasti lumayan dan kalau suka boleh bawa pulang gadis-gadis Melayunya sekali.
Wow, RM111 juta untuk Sekolah PERMATA! Cantik angka 111 tu. Mcm hantaran kahwin pula. Namun, angka itu rasanya terlalu besar dan manafaatnya hanya untuk segolongan kecil pihak. Bagaimana dengan sekolah bukan PERMATA yang telah dipotong peruntukannya dulu dengan alasan untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan? Tidak dijelaskan dalam bajet kali ini.


“Demikianlah pembentangan bajet yang terakhir….” kata-kata dari siapa entah, mengakhiri siaran langsung pembentangan bajet 2011 yang disiarkan di TV3 itu.

Rabu, 29 September 2010

Tudung Akhir Zaman

Macam-macam fesyen tudung sekarang. Makin lama makin singkat. Makin menampakkan dada, bentuk leher, bentuk telinga dan terkini bentuk sanggul tinggi. Yang si artis pulak sibuk mempromosikan tudung berjambul dan tudung bertocang.

Nampaknya fungsi tudung bukan lagi untuk menutup aurat tetapi lebih kepada berfesyen.

Tudung Ummu Hadhari pun semakin singkat nampaknya.


Khamis, 16 September 2010

Raikan Hari Malaysia dengan Filem Indonesia



Demikianlah slogan yang dibuat oleh ASTRO untuk mempromosikan penyiaran filem Indonesia, LOVE, yang dijadualkan pada 17 September. Aku yang sedang mengunyah muruku hampir tersedak. Meraikan hari Malaysia dengan filem bangsa pembakar bendera? Tidak sensitifkah ASTRO dengan perasaan rakyat Malaysia yang terguris dengan peristiwa bakar Jalur Gemilang dan penghinaan terhadap kedutaan Malaysia di Indonesia tempoh hari? Atau ASTRO memang tidak ada semangat patriotik, hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, media Indonesia tidak jemu-jemu mengapi-apikan semangat anti Malaysia. Mereka menuding Malaysia mengklaim kebudayaan punya Indonesia seperti lagu Rasa Sayang Hei, batik, reog ponorogo, angklung, wayang kulit dan masakan rendang. Malaysia digelar sebagai pencuri budaya atau maling. Malah ikan arowana dan bunga reflesia yang “punya Indonesia” turut dimaling oleh Malaysia.

Media Indonesia juga begitu cepat menghukum Malaysia tanpa usul-periksa. Suatu ketika dahulu seluruh Indonesia dari menteri, mahasiswa hingga ke rakyat bawahan mengamuk hanya kerana kesilapan Discovery Channel memasukkan tarian pendet dalam promo Enigmatic Malaysia. Meskipun telah diperjelaskan duduk perkara sebenar, namun mereka masih menuduh Malaysia mencuri tarian mereka.

Media Indonesia juga cepat mencanangkan keburukan raja-raja Melayu hanya melalui gossip dan fitnah daripada Manohara (janda Tengku Fakhri) dan ibunya (penjenayah yang diburu polis Peranchis). Kisah suami-isteri inipun boleh dijadikan penyebab untuk “Ganyang Malaysia”. Lebih kurang ajar apabila media Indonesia memperlekeh-lekehkan lambang dan identiti negara. Lagu Negaraku dituduh telah dijiplak dari lagu Indonesia, Terang Bulan. Jalur Gemilang pula dikatakan ditiru dari bendera Amerika Syarikat. Pendek kata, apa sahaja yang boleh dikaitkan dengan Malaysia akan dimanipulasikan untuk membangkitkan sentimen anti Malaysia dalam kalangan rakyat Indonesia.

Sungguhpun media Indonesia begitu galak menyerang Malaysia, media Malaysia hanya buat bodoh sahaja. Kebanyakan rakyat Malaysia tidak tahu apa yang terjadi di sana. Karyawan dan produk mereka diangkat dan diagung-agungkan di sini. Malah ASTRO tanpa segan silu memperuntukkan satu saluran iaitu Raya, khusus untuk menyiarkan konsert artis Indonesia.

Kita tak minta media Malaysia meniru amalan media Indonesia yang suka memburuk-burukkan negara jiran. Namun, kita akan berasa lega kalau media Malaysia memainkan peranan menerangkan kedudukan sebenar dan menjawab segala tohmahan yang dilemparkan oleh media Indonesia itu. Negara kita bermaruah dan menjadi kewajiban rakyat Malaysia untuk mempertahankan maruah negara dari terus diinjak-injak oleh rakyat Indonesia.

Sekalung tahniah kepada pejuang-pejuang siber Malaysia yang melancarkan serangan dan mempertahankan kedaulatan Malaysia melalui Youtube, blog, Topix dan laman sosial. Mereka inilah yang bertungkus lumus berhujah dengan fakta, menjawab segala tohmahan dengan kesabaran dan kesungguhan. Meski berbakul-bakul makian dan carutan yang dilemparkan oleh rakyat Indonesia, mereka masih tetap bertahan demi rasa cinta yang mendalam terhadap Negara.

“Ganyang Malaysia” , meskipun hanya sebuah slogan namun tidak mustahil akan menjadi kenyataan sekiranya kita terus dilalaikan menerusi lagu-lagu dan filem-filem mereka. Sabar biarlah bertempat. Buat baik biarlah berpada-pada. Semoga Hari Malaysia yang diraikan ini mampu menyemarakkan lagi rasa cinta akan negara yang kian pudar dalam sanubari rakyat Malaysia.

Sabtu, 24 Julai 2010

Ada Apa Dengan Haziq?
Pagi ni Haziq buat hal tak mau pergi sekolah lagi. "Please, mak. Hari ni je. Haziq janji esok Haziq pergi sekolah," rayu Haziq. "Jangan nak mengada-ngada. Mandi cepat!!!" Jerkah saya sambil menjengilkan mata. Haziq mencok tetapi tetap menuruti arahan bimbang punggung birat lagi dilibas 'hanger'.

Haziq masih menangis semasa menjamah roti sekaya membuatkan hatiku cair. Aku merapati Haziq dan bertanya dengan lembut. Kata Haziq, rakan sekelasnya selalu pukul. Minggu lepas rakannya itu mengugut mahu membawa geng dan abangnya untuk memukul Haziq. Sebab itu Haziq takut hendak ke sekolah.

"Kenapa Haziq tak mengadu kepada cikgu?" tanyaku lembut sambil mengusap rambut anak bongsu kesayanganku itu. " Haziq dah beritau tapi cikgu tak layan"balas Haziq. Sebagai guru aku faham masalah guru Haziq. Kadang-kadang murid-murid begitu sukar dikawal. Hari ni marah, esok buat lagi. Kadang-kadang cikgu tidak terlayan setiap aduan daripada murid-muridnya.

"Okey, macam ni. Nanti mak suruh kakak beritau guru besar. Biar guru besar nasihatkan budak itu. Haziq jangan bimbang lagi. Sekarang Haziq pergi sekolah. Kalau ada masalah cepat-cepat beritau kakak." Aku berjaya memujuk dan meyakinkan Haziq untuk ke sekolah.

Pulang dari sekolah, aku bertanya reaksi guru besar. Aku sangat terkejut apabila diberitahu Haziq, Guru Besar menampar dan menyepaknya. Guru besar tuduh Haziq menipu. Haziq tidak dibuli tetapi hanya diugut. Haziq cuma tersalah istilah "buli" dengan "ugut" dan hasilnya dia ditampar dan disepak??? Masakan budak sekecil Haziq dapat membezakan antara "buli" dan "ugut"?

Tujuan aku meminta anak mengadu kepada guru besar adalah untuk menjamin keselamatannya di sekolah. Supaya dia tidak lagi takut ke sekolah. Bukannya untuk membela anak sendiri dan menuduh-nuduh anak orang. Harapan saya agar pihak sekolah dapat menyelesaikan masalah murid. Menampar dan menyepak hanya menakutkan murid untuk ke sekolah. Pada lain masa, murid tidak akan berani lagi mengadu kepada guru besar sekiranya mereka diancam atau diugut.
Aku rasa bersalah kepada Haziq. Aku sangkakan tindakan ku akan menyelesaikan masalah Haziq, namun sebaliknya pula berlaku. Dia tidak dibelasah rakannya tetapi dipukul pula oleh guru besar. Hari ini anakku mendapat pengajaran baru. Kalau diancam atau diugut, jangan sekali-kali mengadu kepada guru besar!

Ahad, 11 Julai 2010

Kerana Mempersendakan Al-Quran



Salam. Saya ingin berkongsi dengan pembaca tentang cerita yang ditulis oleh seorang pelajar tingkatan 5 yang saya kenali. Menurut beliau, cerita ini adalah berdasarkan kisah benar yang berlaku di sekolahnya baru-baru ini. Tanpa mahu mengaibkan mana-mana pihak, saya menyiarkan tulisan ini untuk bacaan umum supaya kita dapat mengambil ikhtibar daripadanya. Selamat membaca.


PAGI itu sekolah kecoh. Nadia dan Aiman ditangkap basah! Cerita ini disampaikan terus oleh Fazli yang turut berada di tempat kejadian. Malah dia sempat merakamkan perbuatan sumbang rakannya itu. Menurut Fazli, mereka ditangkap oleh penduduk kampung di dalam semak tanpa seurat benangpun.

Sebenarnya, kami memang sudah maklum dengan perangai Nadia yang berlagak alim depan ibu bapanya dan guru-guru di sekolah. Malah, sikap Nadia yang gemar menabur fitnah dan mengadu-domba itu menyebabkan rakan-rakan sekelas menjauhkan diri daripadanya. Salah seorang mangsa fitnahnya ialah rakan baikku sendiri iaitu Ainun. Disebab fitnah itu jugalah Ainun pernah diugut akan dicederakan oleh Aiman.

Oleh kerana tidak tahan difitnah dan diugut, akhirnya Ainun mengadu kepada cikgu kaunseling tentang perilaku Nadia yang sering ponteng sekolah untuk berasmara dengan kekasihnya. Dakwaan Ainun itu diperkukuhkan dengan sms yang dihantar sendiri oleh Nadia. Melalui sms itu Nadia memaklumkan dia tidak ke sekolah kerana keluar bersama Sham ke Bandar. Sham merupakan teman lelaki Nadia yang kedua. Cikgu kaunseling menelefon bapa Nadia bagi memaklumkan perkara tersebut. Bapa Nadia berjanji akan menyiasat perkara berkenaan.

Beberapa hari kemudian, ibu bapa Nadia datang ke sekolah untuk berjumpa cikgu kaunseling. Ibu bapa Nadia mendakwa Ainun sengaja memfitnah anak mereka. Bagi membuktikan anak mereka tidak bersalah, ibu bapa Nadia menyuruh Nadia bersumpah dengan menjunjung Al-Quran dan Nadia melakukannya. Kemudian, cikgu kaunseling memanggil Ainun dan menyuruh dia melakukan perkara yang sama seperti Nadia lakukan sekiranya dia bercakap benar. Namun demikian, Ainun enggan menjunjung Al-Quran. Ainun tidak mahu mempermainkan kitab suci itu.

Keengganan Ainun itu membuatkan cikgu kaunseling berang. Dia bertempik menyuruh Ainun mengaku bahawa dia sengaja memfitnah Nadia. Cikgu menyuruh Ainun memohon maaf kepada Nadia dan ibu bapanya tapi Ainun berkeras mengatakan dia bercakap benar. Sikap Ainun itu menyebabkan cikgu kaunseling hilang sabar lalu memukul belakang Ainun di hadapan pelajar-pelajar lain. Ainun hanya mampu menangis tetapi masih bertegas bahawa dia tidak memfitnah Nadia.

Semenjak kejadian itu, beberapa orang guru dan pelajar mula memandang serong kepada Ainun. Sebagai sahabat, aku menenangkan Ainun dan menasihatinya supaya bersabar serta melakukan solat hajat. Doa orang teraniaya sangat makbul. Memang benar janji Tuhan. Hanya seminggu selepas kejadian itu, Nadia dan Aiman ditangkap basah dalam keadaan yang sangat mengaibkan.

Keesokan harinya, ibu bapa Nadia datang ke sekolah untuk memindahkan anak mereka dari sekolah itu. Cikgu kaunseling pula datang ke kelas untuk meminta maaf kepada Ainun di hadapan pelajar-pelajar lain. Wajahnya seperti hendak menangis. Ainun tidak berdendam dengan cikgu. Dia memaafkan kesalahan cikgu kepadanya. Malah dia berasa kasihan pula kepada Nadia dan ibu bapanya. Sebagai sahabat, kami berharap semoga Nadia insaf atas segala perbuatan kejinya sebelum ini. Mudah-mudahan Nadia berjaya di sekolah baru.


- JnahEme, KT


Selasa, 6 Julai 2010




Ada Apa Dengan Guru Besar?

Tengah syok-syok melayan internet, tiba-tiba guru besar menjengah pintu dan melemparkan senyuman manis. Aku yang gelabah cepat-cepat klik butang X, buat olok-olok menaip rancangan mengajar. Guru Besar berdiri di hadapan meja Zu yang duduk bersebelahan denganku. Dia bertanyakan Zu tentang prestasi murid 4B. Tanpa dipinta, guru besar memberi tip-tip mengajar Bahasa Melayu dengan berkesan, siap dengan contoh dan langkah-langkah pengajaran sekali. Aku dan Zu hanya terlopong mendengarnya. Sesekali kami mengangguk-angguk tanda setuju.

Kemudian, Guru Besar menunjukkan buku-buku yang dibelinya dan minta cikgu-cikgu menggunakannya. Guru Besar memberi penerangan cara-cara menggunakan buku-buku tersebut. Kata Guru Besar, mak ayah murid-murid di sini kurang cakna terhadap pelajaran anak-anak. Jadi, cikgulah yang perlu cari jalan supaya murid-murid menguasai pelajaran. Kata Guru Besar lagi, dia akan mengadakan bengkel cara menjawab soalan bagi murid-murid Tahun 4. Dia sendiri yang akan menjadi fasilitatornya.

Selepas itu, guru besar meminta kami merekodkan markah murid-murid untuk melihat prestasi setiap murid. Beliau keluar sebentar tetapi masuk semula dengan membawa sebuah fail. Dengan bersungguh beliau menyelak helaian-helaian dalam fail itu dan menunjukkannya. Tertera markah setiap orang murid bagi setiap ujian beserta targetnya sekali. Tak cukup dengan itu, beliau turut menggariskan cadangan penambahbaikan. Kata guru besar, dia perlu data-data itu untuk bukan semata-mata ditunjukkan kepada PPD dan JPN, tetapi juga bagi mengenalpasti kelemahan seterusnya merancang penambahbaikan bagi meningkatkan prestasi pelajar.

“Cikgu tak penat?” Isyy..laju pulak mulut ini bertanya. “Kalau kita buat kerja dengan ikhlas dan betul, kita tak akan berasa penat malah kita akan merasa keseronokan dan kenikmatan bekerja itu,” jawabnya sambil tersenyum seakan menyindir. Aku cuma tersengih. Zu bertanya pula tentang matematik. Galak pula semek seorang tu bertanya. Bingkas Guru Besar menyuruh ambil pen dan kertas untuk menerangkan cara-cara mengira pantas. Aku jeling jam di dinding. Ah, sudah pukul 2.00 petang. Ko-kurikulum akan bermula sebentar lagi sedangkan aku masih belum solat. Perlahan-lahan aku mengangkat punggung meninggalkan guru besar yang sedang rancak mengajar Zu, untuk ke bilik air.

Jauh di lubuk hati aku mengagumi wanita separuh abad itu. Dia bukan sekadar mengarah tetapi turut membantu menyelesaikan masalah. Dia langsung tidak merungut meskipun pada pandangan mata kasarku, beban yang digalasnya amat berat sekali. Bukan mudah untuk mengangkat sekolah yang terdiri daripada murid-murid biasa menjadi sekolah cemerlang KPM. Dan bukan mudah juga mengekalkan kecemerlangannya.

Tiba-tiba aku teringat akan Kak Siti dari SMK Menerong. Kata Kak Siti, dia merayu GPKnya untuk menjadi guru Bahasa Inggeris meskipun dia dari opsyen BM, semata-mata mahu mendalami ilmu itu. Begitu juga Kak Zaiton yang memohon mengikuti kursus Profisiensi BI untuk memantapkan lagi Bahasa Inggerisnya. Guru Besar, Kak Siti dan Kak Zaiton adalah contoh wanita hebat yang sangat mencintai kerjayanya. Mudah-mudahan Allah berikan kekuatan kepadaku untuk menjadi seperti mereka.

Sabtu, 3 Julai 2010


Ada Apa Dengan Cikgu?


Salam. Terima kasih atas respon saudara/i terhadap tulisan saya yang terdahulu. Nampaknya ramai guru yang tersinggung dengan tulisan itu. Entah ayat yang mana dikatakan memperlekeh dan memperlecehkan profesyen guru itu. Walhal yang dimaksudkan dengan "bersungut" itu adalah merujuk kepada sikap segelintir guru yang gemar merungut tentang bebanan tugas di dada akhbar. Mudah benar cikgu tersinggung, melenting dan melatah. Hingga menakutkan saya menyuarakan pandangan ikhlas.


Saya pastinya akan mengunci mulut rapat-rapat kalau saya bukan dalam kalangan guru. Tapi saya sudah berada dalam bidang ini agak lama juga dan tahu setara mana beratnya beban guru. Pada awalnya saya tidak mahu menyibuk dengan rungutan demi rungutan yang dibaca di dalam akhbar itu. Namun apabila rungutan itu acap kali benar tersiar seperti ini, saya fikir guru sudah berlebih-lebih. Mengapa hanya kelompok guru sahaja yang gemar merungut di dalam akhbar berbanding mereka dari profesyen lain? Kita sendiri sudah maklum bahawa tugas guru bukan sekadar menjadi guru bahkan turut menjadi kerani, juruteknik, jururawat, polis, kaunselor, tukang kebun, tukang masak hatta tukang cuci. Budaya itu telah diterima oleh guru sejak dulu lagi. Guru insan serba boleh. (Patutlah abang askar tu kata kerja cikgu lagi susah dari kerja askar)


Sejak saya kecil lagi saya lihat emak bawa balik buku-buku sekolah untuk diperiksa di rumah. Emak juga sering menulis, melukis dan mewarna di atas kad manila untuk dijadikan bahan bantu mengajar. Pada awal tahun saya lihat emak bersengkang mata menulis rancangan tahunan yang panjang berjela. Tapi emak tak merungutpun. Malah sikap emak yang sering membawa kerja sekolah ke rumah telah menarik hati kami adik-beradik terhadap kerjaya guru. Kami sering bermain "cikgu-cikgu" dengan meniru perlakuan emak.


Kini, tugas guru telah banyak dikurangkan dan dipermudahkan dengan penggunaan teknologi moden seperti komputer dan internet. Saya tidak perlu lagi bersengkang mata untuk menulis rancangan tahunan macam emak dulu. Saya cuma memuat turun menerusi internet dan rancangan tahunan tersedia untuk dicetak. Saya juga tidak perlu pening-pening kepala mengira markah, menyusun ranking dan membuat analisa kerana sistem akan melakukannya untuk saya. Saya juga tidak perlu risau tentang BBM kerana saya boleh menggunakan perisian pendidikan sebagai alat bahan bantu mengajar saya. Kadang-kadang saya biarkan sahaja komputer menggantikan tugas saya mengajar murid-murid. Saya punya banyak masa untuk menyemak buku murid di bilik guru. Sempat juga saya bergosip, melayan internet dan membelek-belek katalog untuk persiapan raya nanti. Emak pun berasa hairan kenapa saya tidak pernah membawa balik kerja sekolah di rumah.


Kadang-kadang ada juga guru besar mengarahkan saya melakukan tugas-tugas selain mengajar. Tapi saya berasa seronok sebab boleh melakukan sesuatu yang berbeza daripada biasa. Saya bukanlah "gila kerja" atau "kaki bodek". Mungkin kerana minat, saya tidak merasakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan sebagai beban yang tak mampu digalas. Atau mungkin benar seperti kata salah seorang pengomen, saya tergolong sebagai "yang bernasib baik" kerana tidak pernah diarahkan bertugas pada hari Sabtu.


Apapun, saya memohon maaf atas "keceluparan" saya pada tulisan yang lalu. Saya sekadar mahu memberi pandangan ikhlas tanpa berniat memperlekeh-lekehkan kelompok guru. Saya maklum benar dengan perangai cikgu. Meski mulut mengomel, kerja pasti dibereskan. Anggap sahajalah saya mewakili ibu bapa yang bimbang mendengar rungutan-rungutan cikgu itu.

Ahad, 27 Jun 2010

Berhentilah Bersungut Wahai Cikgu

Sejak kebelakangan ini, terlalu banyak rungutan daripada warga pendidik tentang bebanan tugas dan kekurangan masa untuk keluarga. Tidak kurang juga yang meminta-minta gaji dinaikkan. Profesion keguruan dilihat seperti tidak menyeronokkan serta membebankan. Mungkin disebabkan “tekanan jiwa” ada guru yang bersikap melampaui batas menghukum pelajar sehingga mencedera dan mengaibkan pelajar berkenaan.

Namun, benarkah profesion ini begitu membebankan? Sudahkah guru-guru yang merungut itu membuat banding beza dengan profesyen2 lain seperti jururawat, polis, nelayan, petani, pekerja kilang dan seumpamanya? Pernahkah tidur lena mereka diganggu dan diarahkan bertugas serta-merta? Pernahkah mereka diarahkan ke luar daerah dan meninggalkan keluarga tercinta berbulan-bulan lamanya? Pernahkah mereka merasai nyawa seperti telur di hujung tanduk ketika keluar bertugas?

Mengapa prestasi pelajar yang menjadi igauan ngeri? Pelajar seperti apakah yang ingin kita hasilkan? Yang lulus peperiksaankah atau yang seimbang rohani dan jasmaninya? Kalau kita memilih yang pertama maka jadilah kita seperti robot yang menyuap pelajar dengan sebanyak mungkin maklumat supaya mereka dapat jawab soalan. Pelajar mungkin dapat keputusan cemerlang dan berjaya ke IPT. Namun selepas itu mereka akan terima kejutan sebab tiada siapa yang mahu menyuap mereka lagi. Pelajar juga tak tahu memanfaatkan ilmu sebab bagi mereka ilmu adalah untuk lulus periksa dengan cemerlang.

Guru tidak sepatutnya berasa tertekan atau terbeban kerana peranan guru adalah pemudahcara. Justeru, guru perlu bijak melaksanakan strategi pengajaran dan pembelajaran untuk menghasilkan insan yang seimbang. Bukan semata-mata latih-tubi menjawab soalan yang sungguh membosankan bukan sahaja pelajar bahkan guru. Bersyukurlah kita ditakdirkan menjadi guru yang menikmati gaji tetap yang lumayan, pencen, kemudahan pinjaman, kerja setengah hari dan cuti yang banyak. Kalau adapun kelas tambahan cuma sekali dua dalam seminggu. Kalaupun penat lelah membuat kelas tambahan itu tidak dibayar (biasanya berbayar)anggap sahajalah sebagai sedekah amal jariah yang besar ganjarannya.

Berhentilah bersungut dan berlapang dadalah mendidik anak bangsa seperti mana yang diamalkan oleh guru-guru terdahulu yang menerima gaji jauh lebih kecil daripada yang kita nikmati sekarang ini.

Rabu, 2 Jun 2010


Episod Baru Di Sekolah Baru


Hari ini ambe mula mengajar di SK Gong Kapas, sekolah cemerlang KPM 2009. Alhamdulillah, guru besar dan guru-guru menyambut baik kehadiran ambe ke sekolah mereka. Ambe mengajar Bahasa Melayu Tahun 4. Berkali-kali juga ambe tersasul antara "teacher" dan "cikgu". Harap-harap guru besar dan guru-guru dapat menilai ambe menerusi kerja buat ambe, bukannya dengar cakap-cakap orang. Apapun, ini peluang terbaik ambe untuk memperbaiki prestasi kerja dan membuktikan kemampuan sebenar ambe. Insya-Allah.

Selasa, 1 Jun 2010

BAHASA meLAYU

Pada 25 hingga 27 Mei yang baru lalu, ambe telah mengikuti Kursus Pemantapan Bahasa Inggeris. Kursus berkenaan adalah untuk memantapkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam kalangan guru-guru Bahasa Inggeris bukan opsyen. Dengar cerita, selepas kursus ini kami akan diberi sijil yang melayakkan kami mengajar Bahasa Ingeris dan menerima elaun guru Bahasa Inggeris. Pemilihan kami yang dalam kalangan bukan opsyen adalah untuk mengatasi kekurangan guru Bahasa Inggeris di Terengganu. Tambahan pula, kementerian akan menambah waktu pembelajaran Bahasa Inggeris.

Sebenarnya ambe ambil pengkhususan Pengajian Melayu semasa di maktab dulu. Ambe ajar Bahasa Melayu Tahun 1 pada tahun-tahun awal ambe sebagai guru. Ambe seronok mengajar murid-murid Tahun 1 yang comel itu. Kami akan sama-sama menyanyi dan bermain. Ambe akan pastikan murid-murid ambe boleh membaca sebelum melangkah ke Tahun 2. Ketika itu buku “Bacalah Anakku” senantiasa berada di dalam beg galas ambe. Ambe akan panggil murid-murid bermasalah untuk membaca buku itu sama ada di kelas, bilik guru, kantin, perpustakaan mahupun di taman.

Ketika PPSMI mula diperkenalkan oleh Tun Mahathir, ambe adalah penentang kuat. Ambe marah apabila fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu seakan dihina. Kerajaan sanggup mengeluarkan peruntukan yang banyak untuk projek PPSMI ini. Ambe betul2 berasa hati apabila Bahasa Melayu dipinggirkan.

Pada tahun 2003, ambe dipilih untuk mengikuti kursus ETEMS sekaligus menjadikan ambe seorang guru sains pula. Amarah ambe terhadap kerajaan terus terpadam apabila menerima BISP iaitu elaun untuk guru PPSMI. Sedikit demi sedikit Bahasa Melayu ambe tinggalkan. Dan kini, ketika ura-ura PPSMI akan dimansuhkan, ambe diserap pula menjadi guru Bahasa Inggeris. Bahasa Melayu telah ambe tinggalkan sepenuhnya.

Bukan ambe tidak bersyukur, tapi ambe kurang berkebolehan dalam bahasa Inggeris. Sejujurnya cinta ambe adalah pada Bahasa Melayu. Ambe berasa cemburu dengan rakan-rakan yang sudah berjaya menjadi guru pakar dan pemeriksa kertas Bahasa Melayu. Ambe tidak berpeluang menjadi seperti mereka sedangkan ambe adalah guru pelatih cemerlang semasa di maktab dulu. Apakah ambe akan berjaya dalam opsyen baru ambe ini? Entahlah, ambe kurang yakin.

Dalam perjalanan pulang dari IPGM Sultan Mizan ke rumah ambe di Kuala Terengganu, ambe terpandang papan tanda Digi yang tertera “Jagalah Kebersihan Bandaraya Kami”. Ewah, ewah, ewah! Sejak bila pula bandaraya Kuala Terengganu ini milik Digi? Perasaan ambe terganggu lagi apabila menonton Buletin Utama malam tadi. PM menyampaikan ucapannya dalam Bahasa Inggeris pada rumah terbuka Wesak. Bukankah itu majlis rasmi? Kenapa tidak digunakan bahasa kebangsaan? Kenapa perlu berbahasa Inggeris untuk bercakap dengan orang bukan Melayu? Makin merimaskan apabila melihat iklan-iklan yang menggunakan pelbagai bahasa seolah-olah rakyat Malaysia ini tidak faham bahasa Melayu. 1 Malaysia konon? Mahukan kesamarataan tapi tak sanggup pula ke sekolah kebangsaan dan menggunakan bahasa kebangsaan. Di mana semangat kebangsaan kalian, bangsa Malaysia?

Walaupun ambe kini guru Bahasa Inggeris, cinta ambe adalah Bahasa Melayu. Jauh di sudut hati, ambe berharap munculnya pemimpin Negara yang berjiwa patriotik yang akan memperjuangkan maruah dan kedaulatan bahasa Melayu seperti Anwar Ibrahim suatu ketika dahulu. (Sekarang, parti Anwar yang menukarkan papan tanda jalan kepada 3 bahasa dan menghapuskan tulisan jawi)

Jangan biarkan Bahasa Melayu melayu di bumi sendiri!

Ahad, 25 April 2010

Al-Fatihah Buat Arwah Yusri Mohd. Kasim

Arwah adik ipar ku yang bernama Yusri Mohd. Kasim telah kembali ke rahmatullah pada 12.20 am, 23 April 2010, bersamaan hari Jumaat yang mulia. Arwah berusia 41 tahun meninggalkan adik ku, Tuty dan 2 orang cahaya mata iaitu Iffah dan Izzah. Aku dapat tahu berita sedih itu sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan Pendidikan Jarak Jauh dan Literasi Komputer. Kami terus bergegas ke rumah ayah di Seremban sebelum ke rumah adik di Sungai Besi.

Arwah menderita ketumbuhan dalam otak sejak 6 tahun lalu. Kami sempat menziarahinya ketika operasi otak yang pertama. Ketika itu doktor mengatakan bahawa Arwah cuma ada 6 bulan lagi untuk hidup. Namun arwah kuat semangat. Dia mahu melihat anak bongsunya bersekolah. Arwah dijemput ketika anak bongsunya itu sudah masuk tahun 1. Dia menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri dan anak-anaknya.

Dalam kesedihan terselit rasa kagum terhadap ketabahan adikku dalam menjalani ujian yang sungguh berat ini. 6 tahun menjaga suami yang terlantar sakit bukanlah tugas yang ringan. Namun dia berjaya melakukannya dengan baik sekali. Malah urusan pengebumiaan suaminya serta majlis tahlil diuruskan sendiri dengan kerjasama komuniti penduduk. Alhamdulillah, jiran-jiran dan kawan-kawannya banyak membantu di saat kesusahan begini. Ucapan takziah tidak putus-putus dalam facebooknya.

Sesungguhnya kematian Yusri dalam usia muda memberi keinsafan kepadaku. Ajal menjemput tidak mengira usia. Maut tidak menanti sama ada kita sudah bersedia atau tidak. Al-Fatihah buat arwah Yusri semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. AMIN.



Arwah Yusri (berbaju oren) bersama isteri, anak-anak dan keluarga di Seremban.


Majlis Pengebumian Arwah Yusri dihadiri rakan-rakan dan sanak saudara.

Sabtu, 17 April 2010

Pembayaran Gaji Kakitangan Awam 2010

BULAN

TARIKH

HARI

CATATAN

JAN

25.01.2010

ISNIN


FEB

08.02.2010

ISNIN

TAHUN BARU CINA (14&15)

MAC

25.03.2010

KHAMIS


APR

22.04.2010

KHAMIS


MEI

24.05.2010

ISNIN

PESTA MENUAI (30&31)

JUN

24.06.2010

KHAMIS

HARI GAWAI (01&02)

JUL

22.07.2010

KHAMIS


OGOS

25.08.2010

RABU


SEPT

23.09.2010

KHAMIS

AIDILFITRI (10&11)

OKT

25.10.2010

ISNIN


NOV

10.11.2010

RABU

AIDILADHA (17&18)

DIS

20.12.2010

ISNIN

HARI KRISMAS (25)



Ahad, 14 Mac 2010

Le Tour Di Bukit Diman

Pasukan LTDL telah melalui SKBD. Guru-guru dan murid-murid SKBD tidak melepaskan peluang memberi sokongan kepada pelumba2 basikal terbabit. Mereka berbaris sepanjang jalan di hadapan sekolah sambil mengibar-ngibarkan bendera Terengganu. Murid2 dan guru2 bersorak memberi semangat terhadap pasukan LTDL.

Pengalaman ini memberi pengajaran berguna kepada murid2 tentang sukan lumba basikal di samping menggalakkan murid2 menceburi bidang sukan yang diminati.


Gambar guru2 dan murid2 SKBD yang setia menanti pasukan LTDL.


Merentas Desa & Sukaneka SKBD 2010

SKBD telah mengadakan pertandingan merentas desa dan sukaneka bertempat di Padang Belia Kg Bukit Diman. Pertandingan tersebut terpaksa di jalankan di sana memandangkan sekolah belum mempunyai padang apabila padang sedia ada dijadikan tapak bangunan baru 4 tingkat.

Apapun temasya sukan tersebut tetap meriah dengan kerjasama penduduk Kampung Bukit Diman yang sporting. Rumah Hang Jebat membuktikan keunggulannya apabila berjaya menjadi johan keseluruhan mengalahkan rumah Hang Lekir dan Hang Tuah di tempat kedua dan ketiga.

Gambar bersama murid2 tahun 3 Berlian dan 2 Berlian 2010.

Isnin, 22 Februari 2010



Cuti Berblog



Cg Lyn akan bercuti berblog bermula esok sehingga bulan Mei nanti bagi memberikan tumpuan terhadap peperiksaan akhir pada bulan April nanti. Sibuk berblog, berfacebook dan berforum menyebabkan ambe alpa terhadap tugas sebagai seorang pelajar jarak jauh. Banyaknya buku yang kena baca. Sempat habis ke tidak.

Kalau sudi, tolonglah doakan kejayaan ambe masa menjawab soalan periksa tu ye.

Jumaat, 19 Februari 2010

Penzina Ditimpa 4 Kecelakaan


DALAM peristiwa Israk dan Mikraj, Nabi Muhammad SAW diperlihatkan keadaan lelaki dan perempuan yang diletakkan di hadapan mereka dua piring, satu berisi daging yang membangkitkan selera manakala satu lagi berisi daging busuk.

Lelaki dan perempuan itu lebih gemar terhadap daging busuk itu dan tidak langsung menyentuh daging yang membangkitkan selera.

Rasulullah diberitahu Jibril bahawa mereka tergolong di dalam kalangan mereka yang suka berzina.

Allah turut memperlihatkan kepada Nabi Muhammad bagaimana sekumpulan manusia yang digantung pada buah dada mereka dengan rantai api neraka dan dari faraj mereka, keluar nanah busuk, sehingga ada di kalangan ahli neraka itu sendiri tidak senang melihat keadaan mereka dan meminta dijauhkan.

Mereka itu, menurut Jibril, adalah kalangan yang tidak menjaga kehormatan.

Zina adalah perbuatan keji dalam ajaran Islam dan mereka yang melakukannya mendapat dosa besar.

Allah memberi amaran, bahawa balasan-Nya ke atas orang yang berzina tidak lain daripada neraka, yang Allah jadikan untuk menyeksa manusia yang ingkar terhadap larangan-Nya.

Firman Allah, yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang sangat buruk.” (Surah al-Isra’, ayat 32).

Thabrani an Ibni Abbas meriwayatkan, Rasulullah bersabda bermaksud: “Jauhilah oleh kamu akan zina kerana kecelakaannya empat macam, iaitu hilang seri pada mukanya, disempitkan rezekinya, kemurkaanAllah atasnya, dan ia berkekalan dalam neraka.”

Rasulullah ketika mengikat janji setia dalam satu perjanjian bersama sahabat Baginda, sama ada lelaki atau perempuan, meminta supaya kalangan sahabat lelaki dan perempuan, tidak melakukan syirik, penipuan, mencuri dan berzina.

Allah mengingatkan bahawa, mana-mana umat Islam yang melakukan zina, hendaklah dihukum 100 kali dera (sebatan) terhadap pasangan terbabit.

Firman Allah, yang bermaksud: “Perempuan dan lelaki yang berzina, hendaklah kedua-duanya didera. Masing-masing 100 kali dera (pukulan), janganlah sayang terhadap kedua-duanya dalam menjalankan agamaAllah, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Hendaklah hadir ketika menyeksa kedua-duanya, satu golongan daripada orang mukmin.” (Surah an-Nur, ayat 2)

Sesungguhnya, Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pengampun. Sebanyak manapun dosa yang dilakukan oleh hamba-Nya, jika dia benar-benar insaf akan kesalahannya dan bertaubat nasuha kepada Allah, nescaya Allah akan menerima taubat hamba-Nya.

Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah, wahai hamba-Ku yangmelampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dengan rahmatAllah. Sesungguhnya, Allah mengampuni dosa semuanya. Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah az-Zumar, ayat 53).

Melalui ayat lain, Allah berfirman yang bermaksud: “Ibrahim berkata, tidak ada orang yang berputus asa daripada rahmat Tuhannya, kecuali orang yang sesat.” (Surah al-Hijr, ayat 56).

Berpandukan firman Allah dan hadis di atas, mereka yang sudah terlanjur melakukan dosa besar itu, tidak harus berputus asa. Dia hendaklah segera bertaubat kepada Allah dan menyesali perbuatannya. Insya-Allah, dosanya akan diampunkan Allah.

Selasa, 9 Februari 2010

SUBHANALLAH







Subhanaallah, Maha Suci ALLAH
Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi
dan silih bergantinya siang dan malam
terdapat tanda bagi yang beraqal
iaitu
orang yang mengingat ALLAH
sambil berdiri ataupun duduk
atau dalam keadaan berbaring
dan mereka memikirkan
tentang penciptaan langit dan bumi;
"Ya Tuhan kami
sesungguhnya
barangsiapa yang Engkau masukkan keneraka
maka sungguh Kau telah hinakan dia
dan tidak ada bagi orang zalim
seorang penolongpun";
"Ya Tuhan kami
kami mendengar seruan
yang menyeru kepada iman
'Berimanlah kamu kepada ALLAH'
maka kami pun beriman";
"Ya Tuhan kami
ampunilah bagi kami
dosa-dosa kami
dan hapuskanlah dari kami
kesalahan-kesalahan kami
dan wafatkanlah kami
berserta orang yang berbakti";
"Ya Tuhan kami
berikanlah kepada kami
apa yang telah Engkau janjikan kepada kami
dengan perantaraan Rasul-Rasul Engkau
Dan janganlah Engkau hinakan kami
di hari kiamat nanti.
Sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji"

Ali Imran: 190 - 194

Sabtu, 6 Februari 2010

Bangsa Melayu Jangan Jadi Begini

Beriman di mulut, hati berlumut
beriman di lidah, hati menyalah
lidah bercabang, langkah menyilang
cakap berlecoh, perangai tak senonoh
tamak harta, mabuk dunia
laba pangkat, lupa akhirat
kemaruk puji, lupa diri.


Bangsa melayu Jangan Jadi Begini

Ke tengah memfitnah, ke tepi mendengki
ke laut menghasut, ke darat mengumpat
ke hulu menipu, ke hilir menyindir
ke atas mengampu, ke bawah melapah
ke gunung menyombong, ke lurah menista
berkawan dengan setan, berguru pada nafsu
beraja pada selera, bersahabat pada maksiat
berlabuh pada yang tak senonoh
berhenti pada yang keji.

Bangsa Melayu Jangan Jadi Begini

bergantung pada yang serong
berpijak pada yang merosak
bersandar pada yang ingkar
berumah pada yang salah
aniaya pada saudara
khianat pada sahabat
iri kepada isteri
muak ke orang banyak
derhaka ke orang tua
menghina pada yang muda
mencerca sama sebaya
bekerja malas, memimpin culas
bersusah malu, berpahit tak mahu.

jadilah bangsa yang bersopan
jadilah bangsa yang berbudi tinggi
jadilah bangsa yang pentingkan kemuliaan
jadilah bangsa yang berhemah mulia
jadilah bangsa yang berpegang kepada kekeluargaan
jadilah bangsa yang cintakan muafakat
jadilah bangsa yang sentiasa mahu berbakti
jadilah bangsa yang fikirkan cemerlang dunia dan akhirat

tuah ayam pada sisiknya
tuah manusia pada baiknya
tuah kain pada tenunnya
tuah kayu pada elok buahnya
tuah melayu elok maruahnya..

Petikan dari buku: anjung teromba, oleh Dato' Dr Mohd Rosli Saludin

Selasa, 2 Februari 2010

Allah Bagi Umat Kristen


Oleh Azma

Just nak kongsi pengalaman sepanjang lebih 5 tahun tinggal dan belajar di Indonesia. Saya tidak berniat memburukkan Indonesia.. They have my respect, dan saya tahu orang2 Indonesia tidak seburuk yang disangkakan di sini.. (orang Indonesia baik dan ramah, pintar dan rajin.. that's a fact!)


Pengalaman ini saya kongsi supaya orang ramai boleh tahu dan membayangkan implikasinya jika penggunaan nama Allah oleh non-muslim dibiarkan. Di satu sisi memang agak lucu, tapi di sisi lain terdapat keseriusan di dalamnya

Aku ingat satu hari aku bukak TV perdana dia pastu tengok satu program.. Aku ingat ceramah agama lah.. dia punya penceramah punya semangat berkobar2.. "Kita semua sudah berdosa! Allah Maha Kuasa! Allah Maha Penyayang! Kembalilah kita semua ke jalan Allah! (aku dalam hati, Alhamdulillah.. bagus!) pastu tak pasal2 dia sambung "Kembalilah ke Yesus Kristus dan Bunda Maryam!" aku langsung tergolek... astaghfirullah! ceramah Kristian rupanya..


Satu lagi kenangan aku kat Indonesia, kalo baca surat khabar sana nanti ada slot obituaries: "Telah Kembali ke Rahmat Allah, Sdr. XXX pada XXX Semoga ruh beliau dicucuri rahmat Allah" Bila tengok balik nama yang mati Eduardus, Kristus, Paulus, etc. (nama org Kristian) pastu ada salib diikuti tulisan kecik "ash to ash, dust to dust, fade to black"... tergolek lagi aku.. wakakaka..


Satu lagi cerita aku kat Indonesia, satu hari aku 'bermusafir' lah ke daerah Jawa Barat naik motor, pastu nak berhentilah solat.. aku toleh ke kiri kanan jalan cari masjid.. Pastu aku nampak ada signboard kalimah Allah (dlm arab!) pastu ada banner "Ayuh kerjakan kewajipan kita kepada Allah dan agamanya!" aku pun pergilah dekat.. tup2 aik, awat lain macam tempat ni, siap ada patung jesus kena salib??!! Tergolek lagi aku.. lah.. gereja Kristian rupenye..


Satu lagi kat sana nak beli buku-buku agama kena hati-hati.. Aku dulu pernah 'usha' buku kat kedai buku.. Ada satu buku aku tak ingat persis tapi tajuk buku dia lebih kurang camni: "Memantapkan Iman Anda Kepada Allah" bila bukak2 browsing per helai aku start confuse, amacam lain macam aje ayat2 dan hadis dia.. Aku tengok balik lah.. ayat2 kutipan dari Bible.. tergolek aku lagi.. lah, buku dakwah Kristian rupanya..


risau gak klu jadi camni kat M’sia

di tengah tengah bandar bandung juga terdapat sebuah geraja yg dinamakan "rumah allah"...mcm mcm lagi isu akan timbul lepas ni selagi malaysia mengamalkan demokrasi-sekular



Assalamualaikum w.b.t….

Brother & sisters..
Just want to share something with you all…
Think carefully for our next future generations…
Remember the quote “to see the future of nation just look at their youth @ youngster…
What their done is the mirror of what will happen in future….”
So what happen now give big implication on our next generation…

It’s a story about using Allah as same word as other God which in Christian they believe Jesus is the son of God.
So, the Malaysian Christian (which I believe only some of them) currently claim that the word Allah not only belong to Muslim but also for them..
For me, it’s really sad they can’t even simplest thing & hurt Malaysian people really bad…
After many decade we Malay Muslim had sacrifice a lot for the others Malaysian (neither race or religion) in the name of unity but right now when it relate to ‘Aqidah’ & purity of Islam religion it’s really too much….
I don’t want our past mistake happen again & again…..
I believe this part of the Jewish plan.
So to all Muslim, please come unite & protect our beloved religion & country….
P/S : Here I attached some interesting photo that may open any Muslim eye regarding this matter….
So, please don’t say in the name of democracy, or whatever…..



What the kids will think after this if Allah can be seen at church like this??
It’ll make them confuse like ‘we can pray Allah at church’ or ‘Allah has more than one’???
What will happen next??


This already happen in East Malaysia, so please do something before its spread here…



Don’t wait until it happen like in Indonesia which lot of confusion like this….
That time ‘Murtad’ is normal & can’t be stop anymore….
Again, to all my Muslim friend lets unite and face this for sake of our future…
Thanks…..
Allahuakbar!! Allahuakbar!! Allahuakbar!!

Wassalam…

Selasa, 26 Januari 2010


Layarkan ~ Ramli Sarip

Layarkan bahtera ini
Ke tengah samudera penuh gelora

Layarkan bahtera ini
Ke tengah lautan menyahut cabaran

Hidup Harus Terus Hidup
Biar Cabaran Kuat Menduga

Layar kita berlayar
Biar gelombang menghempas ganas

Layarkan bahtera ini
Timbul tenggelam kita bersama



CgLyn : Ambe dengar lagu ni masa Form 2. Ambe minat benar lagu ni terutama part corus tu. Ambe amik dua baris lirik pada corus tu untuk dijadikan tagline ambe. Dah lebih 20 tahun ambe guna tagline tu tak tukar2. Kadang2 lagu pun kasi kita semangat jugak kan...





Rabu, 20 Januari 2010

Puisi Buat Tok Guru








Semenjak isu perpaduan
Tok Guru jadi tumpuan
Menjadi bahan cemuhan
Media dan Kerajaan Barisan

Setiap krisis, Tok Guru ke depan
Menahan tubuh untuk dipanah
Kiri, kanan, belakang dan depan
Demi kasihnya kepada rakyat bawah

Saban hari Tok Guru dicaci
Namun rakyat tetap mengerti
Semakin Tok Guru disakiti
Semakin rakyat bersimpati

Demi memujuk rakyat yang resah
Anak buah celupar segera disanggah
Media kata Tok Guru megah
Ada yang kata Tok Guru emosi tak sudah

Kepercayaan rakyat usah dipersia
Keutuhan pakatan mesti dipelihara
Maruah parti haruslah dijaga
Strategi musuh sentiasa waspada

Demi persepsi Tok Guru mengalah
Meskipun rindu lambaian Kaabah
Supaya tidak tersebar fitnah
Supaya tak jejas negeri diperintah

Media masih tak putus asa
Anak menantu pula yang dicuba
Anak buah mula bersengketa
Menambah pedih luka yang ada

PAS Kelantan apa nak jadi?
Cah Keting sesama sendiri
Meski dinafi Azman Shapawi
Konon partinya mulia sekali

Kasihanilah Tok Guru kami
Sudah sekian lama dia disakiti
Jangan tambah deritanya lagi
Berdamailah demi keutuhan parti!

(Didedikasikan buat Tok Guru Nik Aziz Nik Mat)

Selasa, 19 Januari 2010


Pembahagian Harta Menurut Adat Perpatih


"Betul ke orang kata kalau kahwin dengan orang nogori, bila bercerai sehelai sepinggang?"


Begitulah soalan yang sering ambe terima bila ambe kata ambe orang Negeri Sembilan. Konon2nya perempuan NS ini queen control dan materialistik. Naik jenuh juga ambe nak terangkan duduk perkara sebenar. Kalau datang sehelai sepinggang, bila bercerai mestilah pulang sehelai sepinggang jugak.


Ini ambe copy & paste daripada wikipedia. Semoga terjawab segala kemusykilan.


Selalu menjadi topik perdebatan hangat mengenai Adat Perpatih adalah mengenai pemberian harta pusaka yang memberikan kelebihan kepada perempuan. Inilah satu-satunya isu dalam Adat Perpatih yang selalu disalah fahamkan. Sebenarnya, pemberian pesaka yang dimaksudkan dalam adat ini ialah pemberian tanah adat. Tanah adat ini adalah tanah yang turun temurun daripada nenek moyang sesuatu keluarga. Sebabnya tanah adat ini diberikan kepada perempuan ialah semata-mata untuk menjaga kehormatan dan maruah kaum wanita Adat Perpatih. Maksudnya, seorang wanita Adat Perpatih walau betapa miskin dan papa pun, dia tidak akan merempat atau menjual maruahnya untuk hidup. Jika dia pulang ke kampungnya dia sudah ada tanah kampung dan sawah untuk dikerjakan sebagai penyambung rezeki. Manakala anak lelaki pula dianggap lebih teguh dan tahu untuk terus berusaha untuk hidup (survival). Akan harta atau tanah yang diperolehi sebagai harta sepencarian maka pembahagiannya adalah menurut hukum faraid (tidak ada kena mengena dengan tanah adat yang hanya untuk perempuan sahaja).

Isnin, 18 Januari 2010


Rampasan produk Adi Putra lepas siasatan rapi




PETALING JAYA: “Rampasan yang dilakukan terhadap produk Ubat Penawar Sendi Tulang milik kanak-kanak genius, Adi Putra Abdul Ghani , 11, Sabtu lalu, bukan dilakukan sesuka hati atau berniat jahat. Kami tidak punya apa-apa kepentingan dalam perkara ini,” kata Pengarah Penguat kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Mohd Hatta Ahmad.

Menurutnya, kajian berhubung isi kandungan produk berkenaan yang didakwa boleh menyembuhkan sakit sendi dan tulang sudah mula dilakukan di makmal forensik bahagian penguat kuasa farmasi sejak awal November tahun lalu.


“Ujian makmal yang dilakukan kakitangan makmal berulang kali mendapati pil terbabit disahkan mengandungi kimia Dexamethasone iaitu dadah steroid yang boleh membahayakan kesihatan pengguna.


“Semua ujian makmal terbabit dilakukan secara terperinci menggunakan peralatan paling moden yang boleh mengesan sebarang kehadiran kimia berbahaya yang sengaja dicampurkan ke dalam ubatan atau makanan kesihatan,” katanya.


Menurutnya, tidak timbul isu sama ada pegawai penguat kuasa farmasi sengaja mensasarkan produk Adi Putra berikutan semua tindakan diambil mengikut prosedur selain terlebih dahulu melalui ujian makmal yang ketat.

Dalam pertemuan singkat semalam, Hatta sempat membawa wartawan melawat dua makmal moden KKM iaitu Makmal Forensik Bahagian Penguat kuasa Farmasi dan Makmal Pengujian Produk Unit Penyaringan Campur Palsu KKM yang digunakan khusus untuk menjalankan pemeriksaan terhadap ribuan produk kesihatan.


“Penggunaan alatan moden seperti Gas Mass Spectrum Chrometography (GCMS) dan High Performance Liquid Chrometography (PLC) mampu mengesan bahan asing yang dicampurkan ke dalam ubatan walaupun dalam kuantiti kecil.


“Keputusan yang diperoleh 100 peratus tepat dan tidak perlu diragui. Bukti terbabit kemudian dijadikan asas bagi membolehkan tindakan susulan dilakukan bagi merampas mana-mana produk kesihatan yang didapati bercampur aduk dengan kimia berbahaya di pasaran,” katanya. Beliau berkata, dakwaan pada pelekat label produk yang mendakwa Produk Ubat Penawar Sendi Tulang dihasilkan daripada rempah ratus seperti halia dan madu ternyata satu fakta tidak tepat dan pihaknya masih menyiasat sumber pembekal produk pil terbabit diperoleh. Menurutnya, pemeriksaan makmal pada enam lagi produk homeopati dipasarkan Adi Putra turut mendapati ia hanya mengandungi bahan sukrose iaitu gula. “Berdasarkan siasatan ketika serbuan, semua pil kecil berwarna kuning itu didapati diimport daripada pengeluar produk Homeopati dari Lahore, Pakistan,” katanya.

hmetro.


CgLyn : Simpati ambe kepada adik Adi Putra. Ramai yang ambil kesempatan terhadap budak genius melayu ini demi memenuhkan kantung masing2. Teringat lagi kenyataan bapa Adi di rancangan AC? Astro. Kata2 yang membuatkan ambe jadi jelik kepada bapa Adi. Kononnya, datang kepada Adi (ilmu laduni) secara berperingkat2. Kononnya, datang Datuk Hang Tuah dalam mimpi bapa Adi dalam bentuk kebijaksanaan selama 3 malam berturut2 dan memberikan nama Adi Putra. Kononnya ubatan itu dicipta oleh Adi sendiri. Sedang MAZA disekat berceramah kerana didakwa tiada tauliah, Adi Putra bebas berceramah ke sana ke mari dengan gelaran Profesor Cilik. Begitu mudah mendapat title itu tanpa perlu ke universiti. Buat ibu bapa Adi, insaflah. Tempat Adi adalah di sekolah. Biarkan dia membesar seperti kanak2 normal yang lain. Tindakan anda yang membenarkan Adi diperguna hanya akan menjahanamkan masa hadapan Adi. Semoga Adi Putra dilindungi Allah sentiasa.