Jumaat, 14 Januari 2011

Kisah Irsyad dan Makanan Percumanya

Irsyad seorang murid yang aktif dan lincah. Dia sangat suka bermain bola sepak dan terpilih mewakili sekolah dalam sukan itu. Dia bercita-cita menjadi pemain bola sepak professional apabila dewasa kelak, seperti idolanya Safee Sali. Main bola sepak, kalau menang boleh dapat duit banyak, boleh dapat tanah, macam anak-anak Terengganu dalam pasukan Harimau Malaya. Bolehlah Irsyad bina rumah untuk keluarganya. Tidak perlu lagi berpindah-randah setiap kali bapanya gagal membayar sewa rumah.

Tapi, Irsyad ada satu masalah. Entah kenapa tahun ini dia tidak dapat makanan percuma. Kalau tahun-tahun lepas, Irsyadlah antara murid yang terawal datang ke sekolah kerana hendak makan makanan percuma yang disediakan pihak sekolah. Selepas habis makan, Irsyad akan terus duduk di kantin sehingga loceng berbunyi. Irsyad akan bungkus makanan atau buah-buahan yang tidak habis untuk dimakan pada waktu rehat. Irsyad tidak pernah bawa duit belanja ke sekolah. Bapanya bukanlah orang senang. Adik-beradiknya juga ramai.

Irsyad tanya cikgu kenapa Irsyad tak dapat makanan percuma lagi. Cikgu cakap, mulai tahun ini pihak kementerian pelajaran sendiri yang akan menentukan murid itu dapat bantuan makanan percuma atau tidak melalui program E-Kasih. Cikgu kata, tahun ini cuma seorang murid sahaja yang layak menerima makanan percuma. Bukan lagi 60 orang seperti tahun lepas.

Tengah hari itu, Irsyad lapar sangat. Malam tadi Irsyad tak makan sebab beras di rumah sudah habis. Petang nanti ada kelas KAFA pula. Irsyad memberanikan diri meminta RM1 daripada guru besar. Guru besar berbangsa cina itu beri Irsyad RM2 dan suruh Irsyad makan. Irsyad disindir kawan-kawannya kerana meminta duit daripada guru besar. Cerita Irsyad minta duit daripada guru besar cepat tersebar. Ustazah marah Irsyad. “Lain kali jangan minta duit daripada guru besar. Minta daripada mak ayah awak.” Irsyad cuma tunduk menahan malu. “Mak ayah Irsyad tak mampu beri duit belanja,” jawab Irsyad di dalam hati.

Irsyad baca surat khabar hari ini di perpustakaan sekolah.”Harimau Malaya terima RM1.625 juta”. Irsyad tumpang bangga. Mampukah Irsyad jadi seperti mereka bila dewasa kelak? Bolehkah Irsyad bermain bola sepak dengan baik kalau Irsyad tak cukup gizi? Irsyad merenung gambar lelaki berdahi licin di dinding perpustakaan, lelaki sama yang bergambar dengan pasukan Harimau Malaya di dada akhbar. Kenapa hentikan bantuan makanan percuma Irsyad?

Selasa, 11 Januari 2011

KAFA : Kualiti atau Kuantiti?


Bermula tahun ini kelas al-quran dan fardhu ain (kafa) telah ditambah waktu pembelajarannya. Jika tahun-tahun sudah waktu kafa ialah 3 hari seminggu dan 2 setengah jam setiap sesi, tahun ini waktunya ditambah menjadi 5 hari seminggu dan 3 jam setiap sesi. Penambahan waktu kafa mungkin disebabkan kenaikan elaun guru kafa seperti yang diumumkan oleh PM semasa bajet 2011. Sungguhpun demikian, kadar bayaran untuk guru kafa telah dikurangkan daripada RM21 sejam kepada RM13 sejam.

Pertambahan waktu kafa ini seharusnya mendatangkan kebaikan kerana murid-murid diberikan pendidikan agama secukupnya di samping mengelakkan mereka membuang masa dengan sia-sia di rumah. Ibu bapa yang bekerja pasti tersenyum lebar kerana tidak perlu lagi mengupah pengasuh atau taska untuk jagaan harian anak. Namun demikian, perlaksanaan tanpa perancangan teliti akan menyebabkan segala usaha itu sia-sia.

Cuba bayangkan keadaan anak-anak yang perlu berada di sekolah sehingga jam 5 petang. Belajar dalam kelas yang panas dan bingar serta terpaksa pula menyalin nota yang kadang-kadang mereka sendiripun tak faham. Pada waktu malam pula, perlu mengaji Al-Quran dan selepas itu menyiapkan kerja rumah. Bagaimana dengan makan minum mereka sepanjang berada di sekolah? Adakah mereka mendapat khasiat yang secukupnya? Adakah pengajaran guru-guru kafa yang tidak terlatih dan kadang-kadang tidak berbakat itu berkesan kepada anak-anak? Sedangkan guru-guru agama sepenuh masa berasa lelah kerana terpaksa mengajar dari pagi hingga petang.

Pihak pengurusan kafa diharap dapat meningkatkan kualiti kafa dan tidak hanya memandang kepada kuantiti semata-mata. Pada peringkat sekolah rendah, apa yang perlu dititikberatkan ialah praktikal solat, tasmik serta membaca dan menulis jawi. Pastikan murid-murid menguasai tiga perkara ini terlebih dahulu manakala perkara-perkara lain bolehlah digabungjalinkan. Gunakan pendekatan yang berpusatkan kepada murid supaya murid tidak bosan. Kelas perlu berjalan dengan keadaan yang lebih santai dan menyeronokkan. Latihan dan penyeliaan guru-guru kafa juga hendaklah dipertingkatkan.
Selain itu, pihak pengurusan kafa perlu menyediakan makanan dan minuman untuk murid-murid kafa. Ini penting bagi memastikan mereka sentiasa bertenaga untuk meneruskan pembelajaran. Bagi tujuan ini, pihak pengurusan kafa bolehlah berbincang dengan PIBG bagi mendapat penyelesaian terbaik.

Bertudung Tetapi Seksi


Kalau anda rajin ke Mydin Mall di Kuala Terengganu, anda pasti pernah terlihat fesyen pakaian pelik yang diperagakan oleh gadis-gadis melayu. Baru-baru ini saya ke sana untuk membeli peralatan sekolah anak-anak. Saya hampir tergelak melihat seorang gadis melayu memakai tudung kepala tetapi berseluar sendat separas lutut. Solekan tebal di wajah gadis itu menyebabkan dia kelihatan seperti badut.
Semasa membelek-belek buku di tingkat atas, sekali lagi saya terkedu apabila terpandang alur punggung seorang gadis bertudung yang duduk mencangkung. Bajunya yang singkat itu tersingkap apabila dia mencangkung menampakkan sebahagian kulit belakang dan punggungnya. Semasa menjamu selera di Mayang Village, saya hampir tersedak apabila seorang gadis bertudung lalu di hadapan saya. Bajunya sendat manakala tudungnya dibelit ke belakang, membiarkan lurah payudaranya yang gebu itu terdedah untuk dipertontonkan kepada orang ramai. Dia tersengih-sengih bangga apabila semua mata tertumpu kepadanya. Pemandangan seperti itu membuatkan saya tidak selesa.
Apa fungsi tudung yang dipakai kalau bahagian-bahagian tubuh yang lain dipertontonkan kepada orang ramai? Ianya seperti sengaja mempersendakan pakaian muslimah. Saya tidak tahu di negeri-negeri lain bagaimana keadaannya, namun saya menyeru kepada gadis-gadis Darul Iman agar sentiasa peka terhadap cara pemakaian anda. Kalau ingin bertudung, pastikan anda benar-benar menutup aurat. Sila rujuk ustaz atau ustazah tentang aurat seorang wanita.