Sabtu, 24 Julai 2010

Ada Apa Dengan Haziq?
Pagi ni Haziq buat hal tak mau pergi sekolah lagi. "Please, mak. Hari ni je. Haziq janji esok Haziq pergi sekolah," rayu Haziq. "Jangan nak mengada-ngada. Mandi cepat!!!" Jerkah saya sambil menjengilkan mata. Haziq mencok tetapi tetap menuruti arahan bimbang punggung birat lagi dilibas 'hanger'.

Haziq masih menangis semasa menjamah roti sekaya membuatkan hatiku cair. Aku merapati Haziq dan bertanya dengan lembut. Kata Haziq, rakan sekelasnya selalu pukul. Minggu lepas rakannya itu mengugut mahu membawa geng dan abangnya untuk memukul Haziq. Sebab itu Haziq takut hendak ke sekolah.

"Kenapa Haziq tak mengadu kepada cikgu?" tanyaku lembut sambil mengusap rambut anak bongsu kesayanganku itu. " Haziq dah beritau tapi cikgu tak layan"balas Haziq. Sebagai guru aku faham masalah guru Haziq. Kadang-kadang murid-murid begitu sukar dikawal. Hari ni marah, esok buat lagi. Kadang-kadang cikgu tidak terlayan setiap aduan daripada murid-muridnya.

"Okey, macam ni. Nanti mak suruh kakak beritau guru besar. Biar guru besar nasihatkan budak itu. Haziq jangan bimbang lagi. Sekarang Haziq pergi sekolah. Kalau ada masalah cepat-cepat beritau kakak." Aku berjaya memujuk dan meyakinkan Haziq untuk ke sekolah.

Pulang dari sekolah, aku bertanya reaksi guru besar. Aku sangat terkejut apabila diberitahu Haziq, Guru Besar menampar dan menyepaknya. Guru besar tuduh Haziq menipu. Haziq tidak dibuli tetapi hanya diugut. Haziq cuma tersalah istilah "buli" dengan "ugut" dan hasilnya dia ditampar dan disepak??? Masakan budak sekecil Haziq dapat membezakan antara "buli" dan "ugut"?

Tujuan aku meminta anak mengadu kepada guru besar adalah untuk menjamin keselamatannya di sekolah. Supaya dia tidak lagi takut ke sekolah. Bukannya untuk membela anak sendiri dan menuduh-nuduh anak orang. Harapan saya agar pihak sekolah dapat menyelesaikan masalah murid. Menampar dan menyepak hanya menakutkan murid untuk ke sekolah. Pada lain masa, murid tidak akan berani lagi mengadu kepada guru besar sekiranya mereka diancam atau diugut.
Aku rasa bersalah kepada Haziq. Aku sangkakan tindakan ku akan menyelesaikan masalah Haziq, namun sebaliknya pula berlaku. Dia tidak dibelasah rakannya tetapi dipukul pula oleh guru besar. Hari ini anakku mendapat pengajaran baru. Kalau diancam atau diugut, jangan sekali-kali mengadu kepada guru besar!

Ahad, 11 Julai 2010

Kerana Mempersendakan Al-Quran



Salam. Saya ingin berkongsi dengan pembaca tentang cerita yang ditulis oleh seorang pelajar tingkatan 5 yang saya kenali. Menurut beliau, cerita ini adalah berdasarkan kisah benar yang berlaku di sekolahnya baru-baru ini. Tanpa mahu mengaibkan mana-mana pihak, saya menyiarkan tulisan ini untuk bacaan umum supaya kita dapat mengambil ikhtibar daripadanya. Selamat membaca.


PAGI itu sekolah kecoh. Nadia dan Aiman ditangkap basah! Cerita ini disampaikan terus oleh Fazli yang turut berada di tempat kejadian. Malah dia sempat merakamkan perbuatan sumbang rakannya itu. Menurut Fazli, mereka ditangkap oleh penduduk kampung di dalam semak tanpa seurat benangpun.

Sebenarnya, kami memang sudah maklum dengan perangai Nadia yang berlagak alim depan ibu bapanya dan guru-guru di sekolah. Malah, sikap Nadia yang gemar menabur fitnah dan mengadu-domba itu menyebabkan rakan-rakan sekelas menjauhkan diri daripadanya. Salah seorang mangsa fitnahnya ialah rakan baikku sendiri iaitu Ainun. Disebab fitnah itu jugalah Ainun pernah diugut akan dicederakan oleh Aiman.

Oleh kerana tidak tahan difitnah dan diugut, akhirnya Ainun mengadu kepada cikgu kaunseling tentang perilaku Nadia yang sering ponteng sekolah untuk berasmara dengan kekasihnya. Dakwaan Ainun itu diperkukuhkan dengan sms yang dihantar sendiri oleh Nadia. Melalui sms itu Nadia memaklumkan dia tidak ke sekolah kerana keluar bersama Sham ke Bandar. Sham merupakan teman lelaki Nadia yang kedua. Cikgu kaunseling menelefon bapa Nadia bagi memaklumkan perkara tersebut. Bapa Nadia berjanji akan menyiasat perkara berkenaan.

Beberapa hari kemudian, ibu bapa Nadia datang ke sekolah untuk berjumpa cikgu kaunseling. Ibu bapa Nadia mendakwa Ainun sengaja memfitnah anak mereka. Bagi membuktikan anak mereka tidak bersalah, ibu bapa Nadia menyuruh Nadia bersumpah dengan menjunjung Al-Quran dan Nadia melakukannya. Kemudian, cikgu kaunseling memanggil Ainun dan menyuruh dia melakukan perkara yang sama seperti Nadia lakukan sekiranya dia bercakap benar. Namun demikian, Ainun enggan menjunjung Al-Quran. Ainun tidak mahu mempermainkan kitab suci itu.

Keengganan Ainun itu membuatkan cikgu kaunseling berang. Dia bertempik menyuruh Ainun mengaku bahawa dia sengaja memfitnah Nadia. Cikgu menyuruh Ainun memohon maaf kepada Nadia dan ibu bapanya tapi Ainun berkeras mengatakan dia bercakap benar. Sikap Ainun itu menyebabkan cikgu kaunseling hilang sabar lalu memukul belakang Ainun di hadapan pelajar-pelajar lain. Ainun hanya mampu menangis tetapi masih bertegas bahawa dia tidak memfitnah Nadia.

Semenjak kejadian itu, beberapa orang guru dan pelajar mula memandang serong kepada Ainun. Sebagai sahabat, aku menenangkan Ainun dan menasihatinya supaya bersabar serta melakukan solat hajat. Doa orang teraniaya sangat makbul. Memang benar janji Tuhan. Hanya seminggu selepas kejadian itu, Nadia dan Aiman ditangkap basah dalam keadaan yang sangat mengaibkan.

Keesokan harinya, ibu bapa Nadia datang ke sekolah untuk memindahkan anak mereka dari sekolah itu. Cikgu kaunseling pula datang ke kelas untuk meminta maaf kepada Ainun di hadapan pelajar-pelajar lain. Wajahnya seperti hendak menangis. Ainun tidak berdendam dengan cikgu. Dia memaafkan kesalahan cikgu kepadanya. Malah dia berasa kasihan pula kepada Nadia dan ibu bapanya. Sebagai sahabat, kami berharap semoga Nadia insaf atas segala perbuatan kejinya sebelum ini. Mudah-mudahan Nadia berjaya di sekolah baru.


- JnahEme, KT


Selasa, 6 Julai 2010




Ada Apa Dengan Guru Besar?

Tengah syok-syok melayan internet, tiba-tiba guru besar menjengah pintu dan melemparkan senyuman manis. Aku yang gelabah cepat-cepat klik butang X, buat olok-olok menaip rancangan mengajar. Guru Besar berdiri di hadapan meja Zu yang duduk bersebelahan denganku. Dia bertanyakan Zu tentang prestasi murid 4B. Tanpa dipinta, guru besar memberi tip-tip mengajar Bahasa Melayu dengan berkesan, siap dengan contoh dan langkah-langkah pengajaran sekali. Aku dan Zu hanya terlopong mendengarnya. Sesekali kami mengangguk-angguk tanda setuju.

Kemudian, Guru Besar menunjukkan buku-buku yang dibelinya dan minta cikgu-cikgu menggunakannya. Guru Besar memberi penerangan cara-cara menggunakan buku-buku tersebut. Kata Guru Besar, mak ayah murid-murid di sini kurang cakna terhadap pelajaran anak-anak. Jadi, cikgulah yang perlu cari jalan supaya murid-murid menguasai pelajaran. Kata Guru Besar lagi, dia akan mengadakan bengkel cara menjawab soalan bagi murid-murid Tahun 4. Dia sendiri yang akan menjadi fasilitatornya.

Selepas itu, guru besar meminta kami merekodkan markah murid-murid untuk melihat prestasi setiap murid. Beliau keluar sebentar tetapi masuk semula dengan membawa sebuah fail. Dengan bersungguh beliau menyelak helaian-helaian dalam fail itu dan menunjukkannya. Tertera markah setiap orang murid bagi setiap ujian beserta targetnya sekali. Tak cukup dengan itu, beliau turut menggariskan cadangan penambahbaikan. Kata guru besar, dia perlu data-data itu untuk bukan semata-mata ditunjukkan kepada PPD dan JPN, tetapi juga bagi mengenalpasti kelemahan seterusnya merancang penambahbaikan bagi meningkatkan prestasi pelajar.

“Cikgu tak penat?” Isyy..laju pulak mulut ini bertanya. “Kalau kita buat kerja dengan ikhlas dan betul, kita tak akan berasa penat malah kita akan merasa keseronokan dan kenikmatan bekerja itu,” jawabnya sambil tersenyum seakan menyindir. Aku cuma tersengih. Zu bertanya pula tentang matematik. Galak pula semek seorang tu bertanya. Bingkas Guru Besar menyuruh ambil pen dan kertas untuk menerangkan cara-cara mengira pantas. Aku jeling jam di dinding. Ah, sudah pukul 2.00 petang. Ko-kurikulum akan bermula sebentar lagi sedangkan aku masih belum solat. Perlahan-lahan aku mengangkat punggung meninggalkan guru besar yang sedang rancak mengajar Zu, untuk ke bilik air.

Jauh di lubuk hati aku mengagumi wanita separuh abad itu. Dia bukan sekadar mengarah tetapi turut membantu menyelesaikan masalah. Dia langsung tidak merungut meskipun pada pandangan mata kasarku, beban yang digalasnya amat berat sekali. Bukan mudah untuk mengangkat sekolah yang terdiri daripada murid-murid biasa menjadi sekolah cemerlang KPM. Dan bukan mudah juga mengekalkan kecemerlangannya.

Tiba-tiba aku teringat akan Kak Siti dari SMK Menerong. Kata Kak Siti, dia merayu GPKnya untuk menjadi guru Bahasa Inggeris meskipun dia dari opsyen BM, semata-mata mahu mendalami ilmu itu. Begitu juga Kak Zaiton yang memohon mengikuti kursus Profisiensi BI untuk memantapkan lagi Bahasa Inggerisnya. Guru Besar, Kak Siti dan Kak Zaiton adalah contoh wanita hebat yang sangat mencintai kerjayanya. Mudah-mudahan Allah berikan kekuatan kepadaku untuk menjadi seperti mereka.

Sabtu, 3 Julai 2010


Ada Apa Dengan Cikgu?


Salam. Terima kasih atas respon saudara/i terhadap tulisan saya yang terdahulu. Nampaknya ramai guru yang tersinggung dengan tulisan itu. Entah ayat yang mana dikatakan memperlekeh dan memperlecehkan profesyen guru itu. Walhal yang dimaksudkan dengan "bersungut" itu adalah merujuk kepada sikap segelintir guru yang gemar merungut tentang bebanan tugas di dada akhbar. Mudah benar cikgu tersinggung, melenting dan melatah. Hingga menakutkan saya menyuarakan pandangan ikhlas.


Saya pastinya akan mengunci mulut rapat-rapat kalau saya bukan dalam kalangan guru. Tapi saya sudah berada dalam bidang ini agak lama juga dan tahu setara mana beratnya beban guru. Pada awalnya saya tidak mahu menyibuk dengan rungutan demi rungutan yang dibaca di dalam akhbar itu. Namun apabila rungutan itu acap kali benar tersiar seperti ini, saya fikir guru sudah berlebih-lebih. Mengapa hanya kelompok guru sahaja yang gemar merungut di dalam akhbar berbanding mereka dari profesyen lain? Kita sendiri sudah maklum bahawa tugas guru bukan sekadar menjadi guru bahkan turut menjadi kerani, juruteknik, jururawat, polis, kaunselor, tukang kebun, tukang masak hatta tukang cuci. Budaya itu telah diterima oleh guru sejak dulu lagi. Guru insan serba boleh. (Patutlah abang askar tu kata kerja cikgu lagi susah dari kerja askar)


Sejak saya kecil lagi saya lihat emak bawa balik buku-buku sekolah untuk diperiksa di rumah. Emak juga sering menulis, melukis dan mewarna di atas kad manila untuk dijadikan bahan bantu mengajar. Pada awal tahun saya lihat emak bersengkang mata menulis rancangan tahunan yang panjang berjela. Tapi emak tak merungutpun. Malah sikap emak yang sering membawa kerja sekolah ke rumah telah menarik hati kami adik-beradik terhadap kerjaya guru. Kami sering bermain "cikgu-cikgu" dengan meniru perlakuan emak.


Kini, tugas guru telah banyak dikurangkan dan dipermudahkan dengan penggunaan teknologi moden seperti komputer dan internet. Saya tidak perlu lagi bersengkang mata untuk menulis rancangan tahunan macam emak dulu. Saya cuma memuat turun menerusi internet dan rancangan tahunan tersedia untuk dicetak. Saya juga tidak perlu pening-pening kepala mengira markah, menyusun ranking dan membuat analisa kerana sistem akan melakukannya untuk saya. Saya juga tidak perlu risau tentang BBM kerana saya boleh menggunakan perisian pendidikan sebagai alat bahan bantu mengajar saya. Kadang-kadang saya biarkan sahaja komputer menggantikan tugas saya mengajar murid-murid. Saya punya banyak masa untuk menyemak buku murid di bilik guru. Sempat juga saya bergosip, melayan internet dan membelek-belek katalog untuk persiapan raya nanti. Emak pun berasa hairan kenapa saya tidak pernah membawa balik kerja sekolah di rumah.


Kadang-kadang ada juga guru besar mengarahkan saya melakukan tugas-tugas selain mengajar. Tapi saya berasa seronok sebab boleh melakukan sesuatu yang berbeza daripada biasa. Saya bukanlah "gila kerja" atau "kaki bodek". Mungkin kerana minat, saya tidak merasakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan sebagai beban yang tak mampu digalas. Atau mungkin benar seperti kata salah seorang pengomen, saya tergolong sebagai "yang bernasib baik" kerana tidak pernah diarahkan bertugas pada hari Sabtu.


Apapun, saya memohon maaf atas "keceluparan" saya pada tulisan yang lalu. Saya sekadar mahu memberi pandangan ikhlas tanpa berniat memperlekeh-lekehkan kelompok guru. Saya maklum benar dengan perangai cikgu. Meski mulut mengomel, kerja pasti dibereskan. Anggap sahajalah saya mewakili ibu bapa yang bimbang mendengar rungutan-rungutan cikgu itu.