Ahad, 11 Julai 2010

Kerana Mempersendakan Al-Quran



Salam. Saya ingin berkongsi dengan pembaca tentang cerita yang ditulis oleh seorang pelajar tingkatan 5 yang saya kenali. Menurut beliau, cerita ini adalah berdasarkan kisah benar yang berlaku di sekolahnya baru-baru ini. Tanpa mahu mengaibkan mana-mana pihak, saya menyiarkan tulisan ini untuk bacaan umum supaya kita dapat mengambil ikhtibar daripadanya. Selamat membaca.


PAGI itu sekolah kecoh. Nadia dan Aiman ditangkap basah! Cerita ini disampaikan terus oleh Fazli yang turut berada di tempat kejadian. Malah dia sempat merakamkan perbuatan sumbang rakannya itu. Menurut Fazli, mereka ditangkap oleh penduduk kampung di dalam semak tanpa seurat benangpun.

Sebenarnya, kami memang sudah maklum dengan perangai Nadia yang berlagak alim depan ibu bapanya dan guru-guru di sekolah. Malah, sikap Nadia yang gemar menabur fitnah dan mengadu-domba itu menyebabkan rakan-rakan sekelas menjauhkan diri daripadanya. Salah seorang mangsa fitnahnya ialah rakan baikku sendiri iaitu Ainun. Disebab fitnah itu jugalah Ainun pernah diugut akan dicederakan oleh Aiman.

Oleh kerana tidak tahan difitnah dan diugut, akhirnya Ainun mengadu kepada cikgu kaunseling tentang perilaku Nadia yang sering ponteng sekolah untuk berasmara dengan kekasihnya. Dakwaan Ainun itu diperkukuhkan dengan sms yang dihantar sendiri oleh Nadia. Melalui sms itu Nadia memaklumkan dia tidak ke sekolah kerana keluar bersama Sham ke Bandar. Sham merupakan teman lelaki Nadia yang kedua. Cikgu kaunseling menelefon bapa Nadia bagi memaklumkan perkara tersebut. Bapa Nadia berjanji akan menyiasat perkara berkenaan.

Beberapa hari kemudian, ibu bapa Nadia datang ke sekolah untuk berjumpa cikgu kaunseling. Ibu bapa Nadia mendakwa Ainun sengaja memfitnah anak mereka. Bagi membuktikan anak mereka tidak bersalah, ibu bapa Nadia menyuruh Nadia bersumpah dengan menjunjung Al-Quran dan Nadia melakukannya. Kemudian, cikgu kaunseling memanggil Ainun dan menyuruh dia melakukan perkara yang sama seperti Nadia lakukan sekiranya dia bercakap benar. Namun demikian, Ainun enggan menjunjung Al-Quran. Ainun tidak mahu mempermainkan kitab suci itu.

Keengganan Ainun itu membuatkan cikgu kaunseling berang. Dia bertempik menyuruh Ainun mengaku bahawa dia sengaja memfitnah Nadia. Cikgu menyuruh Ainun memohon maaf kepada Nadia dan ibu bapanya tapi Ainun berkeras mengatakan dia bercakap benar. Sikap Ainun itu menyebabkan cikgu kaunseling hilang sabar lalu memukul belakang Ainun di hadapan pelajar-pelajar lain. Ainun hanya mampu menangis tetapi masih bertegas bahawa dia tidak memfitnah Nadia.

Semenjak kejadian itu, beberapa orang guru dan pelajar mula memandang serong kepada Ainun. Sebagai sahabat, aku menenangkan Ainun dan menasihatinya supaya bersabar serta melakukan solat hajat. Doa orang teraniaya sangat makbul. Memang benar janji Tuhan. Hanya seminggu selepas kejadian itu, Nadia dan Aiman ditangkap basah dalam keadaan yang sangat mengaibkan.

Keesokan harinya, ibu bapa Nadia datang ke sekolah untuk memindahkan anak mereka dari sekolah itu. Cikgu kaunseling pula datang ke kelas untuk meminta maaf kepada Ainun di hadapan pelajar-pelajar lain. Wajahnya seperti hendak menangis. Ainun tidak berdendam dengan cikgu. Dia memaafkan kesalahan cikgu kepadanya. Malah dia berasa kasihan pula kepada Nadia dan ibu bapanya. Sebagai sahabat, kami berharap semoga Nadia insaf atas segala perbuatan kejinya sebelum ini. Mudah-mudahan Nadia berjaya di sekolah baru.


- JnahEme, KT


1 ulasan:

  1. 8.Al Anfal

    [50]
    Dan (amatlah ngerinya) kalau engkau melihat (wahai orang yang memandang), ketika malaikat mengambil nyawa orang-orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka (sambil berkata): “Rasalah kamu azab seksa neraka yang membakar”.

    [51]
    (Azab seksa) yang demikian itu ialah disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.

    [52]
    (Keadaan orang-orang kafir itu) samalah seperti keadaan Firaun dan kaumnya serta orang-orang yang terdahulu dari mereka. Mereka kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, lalu Allah menyeksa mereka dengan sebab dosa-dosa mereka. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha berat seksaNya.

    [53]
    (Balasan) yang demikian itu, ialah kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakanNya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha mendengar, lagi Maha Mengetahui.

    [54]
    (Keadaan mereka) samalah seperti keadaan Firaun dan kaumnya serta orang-orang yang terdahulu dari mereka. Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhan mereka, lalu Kami binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka, dan Kami tenggelamkan Firaun serta pengikut-pengikutnya (di laut), kerana kesemuanya adalah orang-orang yang zalim.

    [55]
    Sesungguhnya sejahat-jahat (makhluk) yang melata di sisi (hukum dan ketetapan) Allah ialah orang-orang yang kafir (yang degil dengan kekufurannya). Sebab itu mereka tidak (mahu) beriman.

    BalasPadam