Sabtu, 23 Oktober 2010

Plagiat Karya Usman Awang Dlm Perhimpunan Agung UMNO




Seorang Perdana Menteri seharusnya tahu menghormati harta intelek orang lain dengan cara menyebut nama pengkarya terhadap setiap karya yang dipinjam atau digunakan di dalam sesuatu ucapan supaya tidak menimbulkan salah faham orang yang mendengar.

Anak saya berasa terkejut mendengar ucapan dasar PM pada perhimpunan agung UMNO baru-baru ini. "Eh, kenapa macam sajak Usman Awang?" Begitu enak kata-kata PM itu sehingga mendapat sorakan dan tepukan audien yang mendengarnya. Apa sudah tidak ada idea sangatkah PM sehingga sanggup menggunakan karya orang lain?

Bajet 1Malaysia

Sebagai cikgu bahasa, rasa nak marah juga bila perkataan “belanjawan” ditukar kepada “bajet” yang berasal dari perkataan Inggeris “budget”. Teringat kepada Cikgu Kamarudin yang ajar BM semasa di SDSR dulu. Dia cakap, selagi ada perkataan Melayu jangan sewenang-wenangnya guna perkataan Inggeris yang dimelayukan. Begitu kuat jatidiri Malaysia di kalangan guru-guru Bahasa Malaysia ketika itu. Rasa nak suka pun ada bila dengar perkataan “bajet” dari mulut budak-budak sekolah bila bergaduh sesama sendiri. “Bajet” yang itu bermaksud “macam bagus”.

Apapun Bajet 2011 telah dibentangkan. Terima kasihlah kepada kerajaan kerana memberi bantuan RM500 untuk persekolahan anak-anak. Dengan bantuan itu, boleh juga dibelikan pakaian sekolah barang sepasang seorang kepada anak-anak yang lima orang itu. Kata menteri, kerajaan tidak dapat memberi bonus kepada kakitangan awam bimbang akan meningkatkan defisit belanjawan. Jadi, kakitangan awam kenalah faham dan berbelanjalah dengan bijak.

Dalam pada itu, tahniah buat ustaz dan ustazah KAFA yang menikmati kenaikan elaun kepada RM800 sebulan. Murah sungguh rezeki mereka. Mengajar 6 jam seminggu pada waktu petang boleh menjana pendapatan RM800 sebulan. Kalaulah ayah tidak menghalang niat belajar di SMKA dulu… Bukanlah dengki (iri hati sikit je), kenapa ustaz dan ustazah sahaja yang diberi peluang untuk menambah pendapatan dalam bidang pendidikan? Sedangkan guru biasa tidak dibenarkan mengajar tuisyen di luar. Apalah yang dapat dilakukan oleh guru-guru untuk menambah pendapatan selain daripada meniaga direct selling atau MLM yang belum tentu mendatangkan untung itu.

Tahniah juga buat JKKK, JKKP, Imam dan Tok Batin yang menikmati laba daripada bajet kali ini. Harap “faham-faham aje” lah isyarat kerajaan kepada kalian yang menjadi ketua masyarakat. Kalau mahu terus kekal dalam jawatan ini, pandai-pandailah buat kerja kerana di belakang anda ada beratus-ratus tangan yang mahu menikam untuk mengambil alih.

Tidak ketinggalan juga kepada mereka yang suka “shopping” dan melaram dengan barangan import kerana duti import untuk barangan seperti tas tangan, pewarna rambut, seluar dalam dan seumpamanya itu telahpun dikurangkan. Semoga pengurangan itu dapat memberi manafaat kepada golongan “makcik Kiah”.

Berita baik buat Mas Joko! Malaysia bakal membina menara 100 tingkat tidak lama lagi. Ini bermakna pintu rejeki Mas dan rakan-rakan terbuka luas. Lupakan “Ganyang Malaysia” dan datanglah bikin bangunan di sini. Hasilnya pasti lumayan dan kalau suka boleh bawa pulang gadis-gadis Melayunya sekali.
Wow, RM111 juta untuk Sekolah PERMATA! Cantik angka 111 tu. Mcm hantaran kahwin pula. Namun, angka itu rasanya terlalu besar dan manafaatnya hanya untuk segolongan kecil pihak. Bagaimana dengan sekolah bukan PERMATA yang telah dipotong peruntukannya dulu dengan alasan untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan? Tidak dijelaskan dalam bajet kali ini.


“Demikianlah pembentangan bajet yang terakhir….” kata-kata dari siapa entah, mengakhiri siaran langsung pembentangan bajet 2011 yang disiarkan di TV3 itu.