Khamis, 23 Ogos 2012

Raya@Senama

Sebenarnya dah lama saya dan keluarga x balik beraya di kampung emak di Kg. Senama Tengah, Rembau, N.Sembilan, atas sebab2 tertentu. Tahun ini kami mengambil keputusan utk beraya di sana. Kami balik lebih awal untuk merasai suasana puasa dan *mantai di sana. Sempat juga bawak anak naik komuter dari Sungai Gadut ke KL. Maklumlah kat Terengganu mana ada keretapi. Kat KL, kami shopping kat Sogo dan TAR. Murah giler barang2 kat sini.  Masa balik, ada satu inseiden melibatkan pergaduhan kecil antara 2 orang lelaki India. Lelaki tu pukul lelaki sorang lagi sbb katanya lelaki tu "gay". x logik sungguh, hanya kerana senyuman lelaki tu dibelasah. Seb baik ada sorang mat salleh ni yg bertempik "Stop the crime. U want me to call the police?" Tau pulak mamat India tu takut.

Satu lagi insiden yang berlaku apabila suami dan anak-anak lelakiku dihalau oleh polis bantuan sebab duduk di koc wanita. Sampai di Tasik Selatan, ramai orang turun. Banyak kerusi kosong kat koc tu, lalu suami dan anak-anak lelaki ku pun duduklah kat situ. Baru mereka nak lepaskan penat berdiri dah kena halau balik kat polis bantuan, sorang pompuan dan sorang lelaki. Suami sy dah naik angin. "Kat sanapun ada orang pompuan duduk. Kenapa x halau duduk sini, hah?" Polis bantuan lelaki menjawab dengan kasar, "Apa masalahnya? Hormat kaum wanita." Hek eleh...muka macam "gay boy" nak berlagak pulak mamat polis bantuan ni. Sekeh kepala skali dah melalak panggil mak. Pandai cakap suruh hormat kaum wanita, yang kamu tak reti hormat orang tua tu apesal?" Suami aku dah naik bengkek, di"cerlong"nya mamat polis bantuan sampai mamat tu x berani angkat muka. Last2 diorang pun pergi kat koc lain.

Agenda raya - solat di masjid Senama, menziarahi kubur, sesi berfoto dan rumah terbuka. Juadah istimewa ialah nasi biryani dan laksa Penang. Satu lagi insiden berlaku di Hari Raya. Uncle Tapa beraya tanpa isteri dan anak. Isteri dan anak angkat Uncle Tapa mmg x mesra dengan keluarga kami. Raya tahun ni mereka tinggalkan Uncle Tapa raya sorang-sorang. Tapi, Uncle tetap ceria. Tetap sediakan duit raya untuk cucu-cucu saudaranya. Lepas dapat tau kisah Uncle Tapa, kami semua sepakat berikan dia duit raya. Dia bukannya miskin. Dulu kerja Petronas, tapi duit dia isterinya yang control. Kesian sungguh....

Hari kedua pula, konvoi ke Seremban rumah pak sedara dan mak sedara. Sempat jumpa ayah kejap jer sbb ayah n aunty nak balik Pilah. Sempat merasa rendang yg dimasak oleh ayah n aunty yg diberi nama "Rendang Menantu x Pulang". (perli nampak???) Ingatkan nak bermalam di rumah ayah di Taman Marida, Senawang. Tp, sbb ayah nak balik Pilah maka kamipun teruslah berangkat pulang ke Kuala Terengganu petang itu juga. Jalan Seremban-Pilah punyalah jam. Oleh sbb driver dah keletihan, kami ambil keputusan utk bermalam di Hotel Signature, Kuantan, sebelum pulang ke Kuala Terengganu keesokannya.

Salam Aidil Fitri dan Maaf Zahir Batin dari Saya sekeluarga.

Isnin, 21 Mei 2012

Selamat Hari Guru 2012


Berburu ke Padang Datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara"

Ahad, 11 Disember 2011

Mat Sabu Perlu Memohon Maaf

Ucapan Mat Sabu di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, pada 21 Ogos lalu adalah dirujuk. Tulisan ini adalah ulasan penulis berhubung beberapa dakwaan beliau.

1.Lagu Negaraku

Kata Mat Sabu lagu Negaraku diciplak dari lagu Indonesia "Terang Bulan". Yang sebenarnya melodi lagu Negaraku diambil dari lagu kebesaran Negeri Perak yang digubah oleh orang Perancis, dan liriknya ditulis anak tempatan iaitu En. Saiful Bahari. Lagu ini adalah lagu patriotik kerana lirik lagu negaraku yang ringkas dan mudah dihafal itu sarat dengan mesej kenegaraan. Lagu kebesaran Negeri Perak itu telah mula dimainkan semenjak 1888, sedangkan lagu Terang Bulan baru dimainkan pada 1920-an. Oleh itu, tidak munasabah dikatakan lagu Negaraku diciplak dari lagu Terang Bulan. Justeru, Mat Sabu perlu memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kesilapan fakta itu.

2. Filem Bukit Kepong

Filem itu didedikasikan kepada polis yang terkorban dalam tragedi tersebut. Pengarah membuat rujukan sejarah daripada pakar sejarah, penduduk setempat dan waris polis yang menjadi mangsa. Filem tersebut memanglah tidak memihak kepada Mat Indera dan pasukan komunis, namun filem tersebut tidak pula memburuk2 Mat Indera, melainkan komunis yang melakukan keganasan kepada orang awam. Ditunjukkan dalam filem itu, seorang komunis Melayu bernama "Mat" dengan wajah kesal terpaksa meneruskan serangan selepas polis enggan menyerah. Mat juga menyuruh isteri dan anak-anak polis menyelamatkan diri selepas sarjan (Jins Shamsudin) enggan menyerah. Ini menunjukkan pengarah masih menjaga sensitiviti waris Mat Indera yg dianggap pejuang oleh sesetengah pihak.

Polis-polis tersebut dianggap wira kerana keberanian mereka mempertahankan diri dari serangan komunis sehingga titisan darah terakhir. Adalah tidak masuk akal untuk polis-polis itu mengorbankan dirinya untuk kepentingan penjajah melainkan ianya untuk kepentingan anak cucu dan tanah air. Orang melayu tidak suka akan keganasan komunis, sebab itulah mereka berjuang bermati-matian menentang komunis, bukannya sebab mereka itu talibarut Inggeris. Justeru, tidak hairanlah waris polis bukit kepong sangat sakit hati dengan tuduhan Mat Sabu itu. Angkatlah Mat Indera sebagai pejuang tetapi jangan hina polis bukit kepong sebagai talibarut Inggeris. Sebagai pemimpin yang berkeperibadian muslim, Mat Sabu wajar memohon maaf kepada waris polis yang terlibat kerana mengguris perasaan mereka.

3. Sejarah membohong, guru membohong.

Ini adalah satu tuduhan yang tidak bertanggung jawab oleh Mat Sabu. Apakah sejarah yang telah dibohongkan itu? Mat Sabu perlu menyatakan pada bahagian manakah dalam buku teks sejarah Malaysia yang mengatakan Tok Janggut itu penderhaka, Dr. Burhanuddin itu pengkhianat dan "pegawai British" itu pejuang. Umum tahu bahawa perjuangan membebaskan tanah air adalah melalui penentangan dan meja rundingan. Kenyataan Mat Sabu menyebabkan orang berfikir bahawa Dato' Onn dan Tunku Abdul Rahman sebagai barua British sedangkan kita tidak boleh menuduh seseorang melalui anggapan sendiri sahaja. Maka, Mat Sabu perlulah memohon maaf kepada tokoh sejarah dan guru-guru yang mengajar sejarah kerana memfitnah mereka sebagai "pembohong", malah tuntutlah ilmu kepada mereka untuk memahami sejarah dengan lebih mendalam, bukan sekadar membaca sebuah buku biografi sahaja.

Kesimpulan

Ucapan Mat Sabu tersebut hanyalah bermotifkan politik iaitu sekadar mahu memperlekeh2kan musuh politiknya semata-mata, dan bukannya suatu wacana ilmu. Asalnya audien adalah dalam kalangan penyokong PAS/PR sahaja namun telah meluas kepada tontonan awam sejak ianya dimuat naik di youtube dan kemudiannya disiarkan di televisyen Malaysia. Ucapan beliau itu sepatutnya tidak perlu diambil berat sangat kerana beliau hanyalah ahli politik dan bukannya ahli sejarah. Namun, ucapan itu telah dimanipulasikan oleh pihak satu lagi demi meraih keuntungan politik melaluinya. Kesannya adalah kepada rakyat banyak di mana telah timbul kekeliruan, salah faham dan sakit hati. Manakala peranan dan ilmu tokoh sejarah telah tidak mahu lagi didengari. Justeru, Mat Sabu perlulah memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kecelaruan dan ketidakselesaan ini bagi menenangkan keadaan. Di samping itu, anjurkan wacana ilmu dengan menjemput pakar-pakar sejarah dalam mengupas isu berkenaan sebagai pencerahan kepada rakyat.

Selasa, 3 Mei 2011

Kenapa UMNO mahu Anwar bersumpah?

Keengganan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Anwar) untuk bersumpah laknat telah dijadikan senjata oleh UMNO untuk dijajakan kepada rakyat bahawa sememangnya Anwar adalah peliwat dan pelakon video seks. Beberapa orang blogger dan penyokong Pakatan Rakyat telah memulakan kempen mendesak Anwar untuk bersumpah laknat bagi membersihkan nama dan meningkatkan kepercayaan rakyat kepada beliau. Beberapa tokoh ulama juga telah menyarankan perkara serupa bagi menafikan tuduhan yang dilemparkan ke atas Anwar. Masing-masing resah dan gelisah dengan permainan politik ‘longkang’ yang sedang melanda negara. Jalan terbaik untuk menghentikan semua ini adalah dengan cara bersumpah laknat.

Persoalannya sekarang adakah dengan cara bersumpah laknat itu segala tuduhan ke atas beliau akan terhenti? Kalau dengan cara bersumpah itu akan menguntungkan PR dan merugikan UMNO, maka sebab apa UMNO mendesak Anwar untuk bersumpah?

Penyokong UMNO mengatakan, berkat solat hajat yang dianjurkan PAS untuk menunjukkan kebenaran maka video seks Anwar tersebar. Bagi mereka, itulah kebenaran yang PAS hajatkan. Bahawasanya, Anwar adalah lelaki yang tidak bermoral maka tidak pantas dijadikan pemimpin.

Bayangkanlah, kalau Anwar bersumpah, keesokannya beliau atau ahli keluarga beliau kemalangan atau jatuh sakit atau meninggal dunia. Orang akan berkata,”Lihatlah, Allah telah melaknat Anwar dan sesungguhnya Anwar telah berbohong dalam sumpahnya.” Adakah sumpah laknat itu membuktikan kebenaran seseorang? Lagikan video seks mirip Anwar dapat dihasilkan, tentulah tidak sukar merencanakan sesuatu musibah ke atas Anwar atau keluarga.

Dan lagi, kalau Anwar bersumpah sekarang bermakna dia perlu bersumpah atas setiap tuduhan UMNO ke atasnya. Kita kena ingat, Anwar bukannya maksum. Manusia melakukan kesilapan dan berhak memohon taubat. Adakah patut Anwar mendedahkan keaiban sendiri kepada orang ramai?

Pada pendapat saya, janganlah desak Anwar bersumpah sebaliknya bloggers PR dan ulamak sepakat mendidik masyarakat tentang cara terbaik menangani tuduhan zina atau liwat iaitu qazaf. Inilah peluang terbaik untuk menerangkan kepada masyarakat tentang hukum Islam. Di sinilah juga letaknya peranan PAS sebagai parti yang mendaulatkan Islam untuk mempromosikan hukum Islam secara proaktif. Pandai-pandailah ambil peluang semoga rakyat lebih dekat dengan anda. Insya-Allah, anda mampu mengubahnya.

Selasa, 26 April 2011

Warkah Terbuka Buat DS Anwar Ibrahim

Salam buat Datuk Seri dan keluarga semoga berada dalam rahmat Allah sentiasa.

Saya seorang guru wanita di sebuah sekolah di Terengganu. Saya membesar dan menjadi dewasa pada zaman Datuk Seri menjadi Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan. Saya cukup mengagumi Datuk Seri yang saya lihat mempunyai ciri-ciri kebijaksanaan seperti Tun Mahathir dan islamik seperti TG Nik Aziz. Malaysia sangat bertuah jika memiliki seorang Perdana Menteri seperti Datuk Seri. Pelbagai fitnah yang dilemparkan selama ini tidak menggugat kepercayaan saya terhadap Datuk Seri.

Namun, sejak kebelakangan ini saya semakin bosan dengan keadaan politik negara. Saya lihat agenda menjatuhkan Anwar melebihi daripada agenda pembangunan negara dan kepentingan rakyat. Sungguh bosan dengan media arus perdana yang memanipulasikan isu Anwar pada setiap masa dan ketika. Paling mual apabila kerajaan, media dan polis seakan merestui penyebaran video seks dan kemudian menjatuhkan hukuman bersalah mendahului mahkamah dunia.

Datuk Seri, saya amat bersimpati. Sungguh bersimpati kerana pada saat-saat genting ini rakan-rakan yang dahulunya sangat rapat dan memberi sokongan moral dan material telah menjauhkan diri. Malah, mereka turut bekerjasama dengan kerajaan dalam agenda menjatuhkan Anwar. Mengikuti perjalanan bicara Liwat 2, besar kemungkinan Datuk Seri akan dihantar ke penjara semula. Saya tidak tahu dari mana datangnya kecekalan Kak Wan dan anak-anak Datuk Seri. Sedangkan saya yang tiada kena-mengena dengan Datuk Seri pun sangat resah memikirkannya.

Datuk Seri, tidak bosankah dengan keadaan politik di Malaysia? Sampai bilakah Datuk Seri mahu menahan diri dari segala fitnah dan aniaya? Tidak kasihankah kepada Kak Wan yang menanggung segala derita dicaci-maki kerana setia membela suami? Apa penting sangatkah menjadi Perdana Menteri sehingga rela maruah diri diinjak-injak dan kebahagiaan keluarga terjejas?

Datuk Seri, Kak Wan pernah meluahkan rasa bahawa tempoh bersama Datuk Seri di US selepas dibebaskan dan menjadi orang biasa merupakan detik yang sangat membahagiakan. Kenapa tidak menetap sahaja di sana? Datuk Seri masih boleh berikan buah fikiran tentang politik Malaysia melalui penulisan. Tidak perlu berdepan dengan musuh-musuh politik yang menguasai segala-galanya di Malaysia. Lebih baik tinggal bebas di bumi orang daripada terpenjara dan teraniaya di bumi sendiri. Datuk Seri telah memulakan langkah pertama, jadi biarlah orang lain pula menyambung langkah itu. Insya-Allah, perjuangan akan diteruskan.

Datuk Seri, berilah peluang kepada pemerintah menjalankan pentadbiran dengan tenang tanpa perlu takut dengan bayang-bayang Datuk Seri. Sekurang-kurangnya, mereka boleh beri tumpuan kepada pembangunan negara dan rakyat. Sekurang-kurangnya, wang rakyat tidak dibazirkan untuk menjayakan konspirasi. Sekurang-kurangnya, fitnah-mehnah yang memualkan dapat dikurangkan. Kasihan juga kepada pembaca berita TV3 yang cuma menjalanan tugas terpalit dosa kering.

Akhir kata, harap Datuk Seri fikirkan permintaan ini. Fikirkan demi kebaikan semua pihak. Mengalah bukan bermakna kalah, tetapi mencari tempat selamat untuk mengatur strategi. Semoga Allah permudahkan segala urusan Datuk Seri.

Sekian.


Ahad, 24 April 2011

Nasi Lemak Oh Nasi Lemak

Saya sedang mengajar subjek Bahasa Melayu untuk murid-murid Tahun 3 bertajuk Makanan Tradisional Rakyat Malaysia. Sebagai memulakan pengajaran, saya meminta murid-murid menyenaraikan beberapa jenis makanan tradisional. Salah satu daripadanya ialah nasi lemak.

Seorang murid tiba-tiba bersuara, “Cikgu, nasi lemak tak elok. Boleh buat kita gemuk, boleh buat kita sakit.” Saya faham, isu nasi lemak sedang hangat diperkatakan sekarang sehingga budak-budakpun tertarik membahaskannya. Saya akui kurang bersedia untuk memberi respon terhadap pandangan anak murid saya itu. Objektif pengajaran saya pada hari itu ialah murid dapat berbangga dengan makanan tradisional rakyat Malaysia.

Saya tidak boleh menidakkan kata-kata murid saya itu sebab telah diakui benar oleh menteri kesihatan. Setelah berfikir sejenak, saya mengajak murid-murid untuk membuat sedikit analisa untuk mencari jawapan kepada persoalan tersebut. Benarkah nasi lemak makanan yang tidak menyihatkan ?

Saya mengimbas kembali pelajaran yang lalu tentang makanan seimbang. Saya minta murid-murid menulis bahan makanan yang terdapat dalam sebungkus nasi lemak, kemudian kelaskan kepada kumpulan makanan. Selepas itu, catatkan khasiat setiap kumpulan makanan itu.Kemudian, saya minta murid-murid berbincang untuk mencapai keputusan sama ada nasi lemak makanan yang menyihatkan atau sebaliknya. Jawapan murid-murid adalah seperti berikut :

Soalan : Adakah nasi lemak makanan yang menyihatkan?

Kumpulan Makanan

Bahan Makanan

Khasiat

Lemak

Santan

Memberi tenaga

Karbohidarat

Nasi

Memberi tenaga

Protien

Ikan bilis, telur, kacang tanah

Membantu tumbesaran

Vitamin

Timun, kangkung

Menyihatkan

Kesimpulan : Nasi lemak ialah makanan yang menyihatkan / tidak menyihatkan kerana mengandungi semua khasiat yang diperlukan oleh tubuh badan.

Cadangan penambah baikan : kurangkan santan atau gunakan santan rendah lemak.

Selepas semua murid bersetuju bahawa nasi lemak adalah makanan yang menyihatkan, barulah senang kerja saya selepas itu iaitu untuk memupukkan semangat patriotisme. Saya terangkan kepada murid-murid bahawa nasi lemak asalnya adalah makanan tradisional kaum Melayu. Ironinya, nasi lemak turut digemari oleh kaum-kaum lain. Keunikan dan kelazatan nasi lemak membuatkan semua kaum di Malaysia dan pelancong asing tertarik untuk menikmatinya. Nasi lemak juga membekalkan khasiat yang diperlukan untuk belajar, bersukan dan bekerja.

Nasi lemak mudah didapati di mana-mana pada setiap ketika. Nasi lemak bukan sahaja dijual diwarung-warung tetapi juga di gerai-gerai mamak, kopitiam,kedai serbaneka, restoran makanan segera malah turut dijadikan hidangan sarapan pagi istimewa di hotel-hotel terkemuka. Nasi lemak adalah lambang perpaduan rakyat Malaysia. Justeru, kita haruslah berbangga dengan warisan nenek-moyang kita yang telah mencipta suatu makanan yang unik, lazat lagi menyihatkan ini.

Saya berhenti sebentar untuk melihat reaksi murid-murid. Mereka memandang saya dengan mata yang bersinar tanpa kelip. Sudah tentu, setiap makanan yang diambil berlebihan akan mendatangkan penyakit. Jadi, makanlah mengikut keperluan tubuh badan kita. Sebagai pelajar yang harus belajar dan aktif bermain, tiada salahnya untuk makan nasi lemak pada waktu rehat. Kita akan rasa kenyang dan bertenaga untuk mengikuti pelajaran hingga waktu petang.

Melihat senyuman dan sinar mata murid-murid, saya pasti telah mencapai objektif pengajaran hari itu. Saya bukan PERKASA atau PEKIDA yang tegar memperjuangkan Melayu. Namun, apabila harta intelek nenek moyang saya diperkotak-katikkan oleh seorang Menteri Kesihatan, saya terpanggil untuk membela. Setelah berkurun, mengapa baru sekarang Nasi Lemak dikategorikan sebagai makanan larangan?

Daripada sibuk melarang penjualan nasi lemak, adalah lebih baik Menteri Kesihatan mengharamkan terus penjualan arak yang terbukti merosakkan minda dan fizikal manusia. Ada beranikah Datuk Menteri?


Ahad, 20 Mac 2011

RAJA LAWAK “PELAWAK”?


Raja Lawak Musim ke-5 telahpun berakhir dengan Man dinobatkan sebagai juara. Kemenangan Man itu telah diduga awal-awal lagi oleh juri terutamanya Afdlin Syauqi yang menyebut “Man akan jadi Raja Lawak!”

Sebenarnya, ketaksuban Afdlin terhadap Man telah dapat dilihat sejak pusingan awal lagi. Mungkin kebetulan atau memang sudah dirancang, Afdlin yang sering memberi komen terhadap Man. Afdlin selalu menganggap Man pelawak berdiri yang bagus dan pintar. Malahan, Afdlin cuba mempengaruhi penonton supaya mengundi Man. Awal-awal lagi dia sudah melobi Man bagi memastikan Man tidak tersingkir ( Man selalu berada di tangga 3 terbawah).

Tidak dapat dinafikan, lawak Man menghiburkan terutama komedi muzikal yang mengutarakan isu Mat Rempit. Namun, ramai mungkin tidak sedar kebanyakan lawak Man itu bukan ideanya sendiri, tidak seperti Raja2 Lawak yang teredahulu. Kebanyakan lawak Man pernah saya baca dalam ruangan Senyum Pisang majalah Mastika.

Sebagai seorang guru yang selalu marahkan murid-murid yang meniru, saya rasa tidak senang bila seorang peniru seperti Man dinobatkan sebagai juara dan menerima RM100,000.00 serta dipuji sebagai pelawak berdiri yang bagus dan pintar. Mustahil pihak juri tidak sedar yang lawak Man itu sudah biasa didengar?

Atau pihak juri mahupun ASTRO sengaja membiarkan budaya menciplak sebegitu bagi menarik penonton sekaligus menaikkan rating. Selepas beberapa minggu, kelihatan para peserta sudah kekeringan idea, maka muncullah lawak-lawak berbaur lucah yang menyebabkan penonton tidak selesa. Mungkin atas dasar kekeringan idea itulah, maka mereka dihalalkan menciplak lawak sedia ada?

Para juri juga dilihat kurang membantu, tidak seperti juri-juri Raja Lawak musim terdahulu. Hanya seorang juri sahaja memberi komen kepada seorang peserta. Kebanyakan juri hanya berkata bagus atau kurang bagus sahaja tanpa memberikan apa-apa panduan atau tips kepada peserta-peserta. Ini menyebabkan persembahan peserta musim ini tidak ada peningkatan, biasa-biasa sahaja.

Sebagai peminat setia program Raja Lawak sejak musim pertama lagi, saya berharap pihak ASTRO mengembalikan semula format raja lawak seperti Raja Lawak musim pertama. Sediakan mereka otai-otai lawak yang mampu membimbing mereka menjadi pelawak yang baik. Semoga akan lahir Raja Lawak yang mampu menghibur dengan idea-idea lawak yang segar, bukan lagi ciplak.