Ahad, 24 April 2011

Nasi Lemak Oh Nasi Lemak

Saya sedang mengajar subjek Bahasa Melayu untuk murid-murid Tahun 3 bertajuk Makanan Tradisional Rakyat Malaysia. Sebagai memulakan pengajaran, saya meminta murid-murid menyenaraikan beberapa jenis makanan tradisional. Salah satu daripadanya ialah nasi lemak.

Seorang murid tiba-tiba bersuara, “Cikgu, nasi lemak tak elok. Boleh buat kita gemuk, boleh buat kita sakit.” Saya faham, isu nasi lemak sedang hangat diperkatakan sekarang sehingga budak-budakpun tertarik membahaskannya. Saya akui kurang bersedia untuk memberi respon terhadap pandangan anak murid saya itu. Objektif pengajaran saya pada hari itu ialah murid dapat berbangga dengan makanan tradisional rakyat Malaysia.

Saya tidak boleh menidakkan kata-kata murid saya itu sebab telah diakui benar oleh menteri kesihatan. Setelah berfikir sejenak, saya mengajak murid-murid untuk membuat sedikit analisa untuk mencari jawapan kepada persoalan tersebut. Benarkah nasi lemak makanan yang tidak menyihatkan ?

Saya mengimbas kembali pelajaran yang lalu tentang makanan seimbang. Saya minta murid-murid menulis bahan makanan yang terdapat dalam sebungkus nasi lemak, kemudian kelaskan kepada kumpulan makanan. Selepas itu, catatkan khasiat setiap kumpulan makanan itu.Kemudian, saya minta murid-murid berbincang untuk mencapai keputusan sama ada nasi lemak makanan yang menyihatkan atau sebaliknya. Jawapan murid-murid adalah seperti berikut :

Soalan : Adakah nasi lemak makanan yang menyihatkan?

Kumpulan Makanan

Bahan Makanan

Khasiat

Lemak

Santan

Memberi tenaga

Karbohidarat

Nasi

Memberi tenaga

Protien

Ikan bilis, telur, kacang tanah

Membantu tumbesaran

Vitamin

Timun, kangkung

Menyihatkan

Kesimpulan : Nasi lemak ialah makanan yang menyihatkan / tidak menyihatkan kerana mengandungi semua khasiat yang diperlukan oleh tubuh badan.

Cadangan penambah baikan : kurangkan santan atau gunakan santan rendah lemak.

Selepas semua murid bersetuju bahawa nasi lemak adalah makanan yang menyihatkan, barulah senang kerja saya selepas itu iaitu untuk memupukkan semangat patriotisme. Saya terangkan kepada murid-murid bahawa nasi lemak asalnya adalah makanan tradisional kaum Melayu. Ironinya, nasi lemak turut digemari oleh kaum-kaum lain. Keunikan dan kelazatan nasi lemak membuatkan semua kaum di Malaysia dan pelancong asing tertarik untuk menikmatinya. Nasi lemak juga membekalkan khasiat yang diperlukan untuk belajar, bersukan dan bekerja.

Nasi lemak mudah didapati di mana-mana pada setiap ketika. Nasi lemak bukan sahaja dijual diwarung-warung tetapi juga di gerai-gerai mamak, kopitiam,kedai serbaneka, restoran makanan segera malah turut dijadikan hidangan sarapan pagi istimewa di hotel-hotel terkemuka. Nasi lemak adalah lambang perpaduan rakyat Malaysia. Justeru, kita haruslah berbangga dengan warisan nenek-moyang kita yang telah mencipta suatu makanan yang unik, lazat lagi menyihatkan ini.

Saya berhenti sebentar untuk melihat reaksi murid-murid. Mereka memandang saya dengan mata yang bersinar tanpa kelip. Sudah tentu, setiap makanan yang diambil berlebihan akan mendatangkan penyakit. Jadi, makanlah mengikut keperluan tubuh badan kita. Sebagai pelajar yang harus belajar dan aktif bermain, tiada salahnya untuk makan nasi lemak pada waktu rehat. Kita akan rasa kenyang dan bertenaga untuk mengikuti pelajaran hingga waktu petang.

Melihat senyuman dan sinar mata murid-murid, saya pasti telah mencapai objektif pengajaran hari itu. Saya bukan PERKASA atau PEKIDA yang tegar memperjuangkan Melayu. Namun, apabila harta intelek nenek moyang saya diperkotak-katikkan oleh seorang Menteri Kesihatan, saya terpanggil untuk membela. Setelah berkurun, mengapa baru sekarang Nasi Lemak dikategorikan sebagai makanan larangan?

Daripada sibuk melarang penjualan nasi lemak, adalah lebih baik Menteri Kesihatan mengharamkan terus penjualan arak yang terbukti merosakkan minda dan fizikal manusia. Ada beranikah Datuk Menteri?


1 ulasan:

  1. Terima kasih kerana ini sangat membantu untuk video yang akan diambil di Sekolah saya.... Saya gembira kerana perkara ini juga dapat disampaikan pada pelajar sekolah menengah seperti say... Thanx Cg..Lyn...

    BalasPadam