Selasa, 3 Mei 2011

Kenapa UMNO mahu Anwar bersumpah?

Keengganan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Anwar) untuk bersumpah laknat telah dijadikan senjata oleh UMNO untuk dijajakan kepada rakyat bahawa sememangnya Anwar adalah peliwat dan pelakon video seks. Beberapa orang blogger dan penyokong Pakatan Rakyat telah memulakan kempen mendesak Anwar untuk bersumpah laknat bagi membersihkan nama dan meningkatkan kepercayaan rakyat kepada beliau. Beberapa tokoh ulama juga telah menyarankan perkara serupa bagi menafikan tuduhan yang dilemparkan ke atas Anwar. Masing-masing resah dan gelisah dengan permainan politik ‘longkang’ yang sedang melanda negara. Jalan terbaik untuk menghentikan semua ini adalah dengan cara bersumpah laknat.

Persoalannya sekarang adakah dengan cara bersumpah laknat itu segala tuduhan ke atas beliau akan terhenti? Kalau dengan cara bersumpah itu akan menguntungkan PR dan merugikan UMNO, maka sebab apa UMNO mendesak Anwar untuk bersumpah?

Penyokong UMNO mengatakan, berkat solat hajat yang dianjurkan PAS untuk menunjukkan kebenaran maka video seks Anwar tersebar. Bagi mereka, itulah kebenaran yang PAS hajatkan. Bahawasanya, Anwar adalah lelaki yang tidak bermoral maka tidak pantas dijadikan pemimpin.

Bayangkanlah, kalau Anwar bersumpah, keesokannya beliau atau ahli keluarga beliau kemalangan atau jatuh sakit atau meninggal dunia. Orang akan berkata,”Lihatlah, Allah telah melaknat Anwar dan sesungguhnya Anwar telah berbohong dalam sumpahnya.” Adakah sumpah laknat itu membuktikan kebenaran seseorang? Lagikan video seks mirip Anwar dapat dihasilkan, tentulah tidak sukar merencanakan sesuatu musibah ke atas Anwar atau keluarga.

Dan lagi, kalau Anwar bersumpah sekarang bermakna dia perlu bersumpah atas setiap tuduhan UMNO ke atasnya. Kita kena ingat, Anwar bukannya maksum. Manusia melakukan kesilapan dan berhak memohon taubat. Adakah patut Anwar mendedahkan keaiban sendiri kepada orang ramai?

Pada pendapat saya, janganlah desak Anwar bersumpah sebaliknya bloggers PR dan ulamak sepakat mendidik masyarakat tentang cara terbaik menangani tuduhan zina atau liwat iaitu qazaf. Inilah peluang terbaik untuk menerangkan kepada masyarakat tentang hukum Islam. Di sinilah juga letaknya peranan PAS sebagai parti yang mendaulatkan Islam untuk mempromosikan hukum Islam secara proaktif. Pandai-pandailah ambil peluang semoga rakyat lebih dekat dengan anda. Insya-Allah, anda mampu mengubahnya.