Ahad, 27 Jun 2010

Berhentilah Bersungut Wahai Cikgu

Sejak kebelakangan ini, terlalu banyak rungutan daripada warga pendidik tentang bebanan tugas dan kekurangan masa untuk keluarga. Tidak kurang juga yang meminta-minta gaji dinaikkan. Profesion keguruan dilihat seperti tidak menyeronokkan serta membebankan. Mungkin disebabkan “tekanan jiwa” ada guru yang bersikap melampaui batas menghukum pelajar sehingga mencedera dan mengaibkan pelajar berkenaan.

Namun, benarkah profesion ini begitu membebankan? Sudahkah guru-guru yang merungut itu membuat banding beza dengan profesyen2 lain seperti jururawat, polis, nelayan, petani, pekerja kilang dan seumpamanya? Pernahkah tidur lena mereka diganggu dan diarahkan bertugas serta-merta? Pernahkah mereka diarahkan ke luar daerah dan meninggalkan keluarga tercinta berbulan-bulan lamanya? Pernahkah mereka merasai nyawa seperti telur di hujung tanduk ketika keluar bertugas?

Mengapa prestasi pelajar yang menjadi igauan ngeri? Pelajar seperti apakah yang ingin kita hasilkan? Yang lulus peperiksaankah atau yang seimbang rohani dan jasmaninya? Kalau kita memilih yang pertama maka jadilah kita seperti robot yang menyuap pelajar dengan sebanyak mungkin maklumat supaya mereka dapat jawab soalan. Pelajar mungkin dapat keputusan cemerlang dan berjaya ke IPT. Namun selepas itu mereka akan terima kejutan sebab tiada siapa yang mahu menyuap mereka lagi. Pelajar juga tak tahu memanfaatkan ilmu sebab bagi mereka ilmu adalah untuk lulus periksa dengan cemerlang.

Guru tidak sepatutnya berasa tertekan atau terbeban kerana peranan guru adalah pemudahcara. Justeru, guru perlu bijak melaksanakan strategi pengajaran dan pembelajaran untuk menghasilkan insan yang seimbang. Bukan semata-mata latih-tubi menjawab soalan yang sungguh membosankan bukan sahaja pelajar bahkan guru. Bersyukurlah kita ditakdirkan menjadi guru yang menikmati gaji tetap yang lumayan, pencen, kemudahan pinjaman, kerja setengah hari dan cuti yang banyak. Kalau adapun kelas tambahan cuma sekali dua dalam seminggu. Kalaupun penat lelah membuat kelas tambahan itu tidak dibayar (biasanya berbayar)anggap sahajalah sebagai sedekah amal jariah yang besar ganjarannya.

Berhentilah bersungut dan berlapang dadalah mendidik anak bangsa seperti mana yang diamalkan oleh guru-guru terdahulu yang menerima gaji jauh lebih kecil daripada yang kita nikmati sekarang ini.

Rabu, 2 Jun 2010


Episod Baru Di Sekolah Baru


Hari ini ambe mula mengajar di SK Gong Kapas, sekolah cemerlang KPM 2009. Alhamdulillah, guru besar dan guru-guru menyambut baik kehadiran ambe ke sekolah mereka. Ambe mengajar Bahasa Melayu Tahun 4. Berkali-kali juga ambe tersasul antara "teacher" dan "cikgu". Harap-harap guru besar dan guru-guru dapat menilai ambe menerusi kerja buat ambe, bukannya dengar cakap-cakap orang. Apapun, ini peluang terbaik ambe untuk memperbaiki prestasi kerja dan membuktikan kemampuan sebenar ambe. Insya-Allah.

Selasa, 1 Jun 2010

BAHASA meLAYU

Pada 25 hingga 27 Mei yang baru lalu, ambe telah mengikuti Kursus Pemantapan Bahasa Inggeris. Kursus berkenaan adalah untuk memantapkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam kalangan guru-guru Bahasa Inggeris bukan opsyen. Dengar cerita, selepas kursus ini kami akan diberi sijil yang melayakkan kami mengajar Bahasa Ingeris dan menerima elaun guru Bahasa Inggeris. Pemilihan kami yang dalam kalangan bukan opsyen adalah untuk mengatasi kekurangan guru Bahasa Inggeris di Terengganu. Tambahan pula, kementerian akan menambah waktu pembelajaran Bahasa Inggeris.

Sebenarnya ambe ambil pengkhususan Pengajian Melayu semasa di maktab dulu. Ambe ajar Bahasa Melayu Tahun 1 pada tahun-tahun awal ambe sebagai guru. Ambe seronok mengajar murid-murid Tahun 1 yang comel itu. Kami akan sama-sama menyanyi dan bermain. Ambe akan pastikan murid-murid ambe boleh membaca sebelum melangkah ke Tahun 2. Ketika itu buku “Bacalah Anakku” senantiasa berada di dalam beg galas ambe. Ambe akan panggil murid-murid bermasalah untuk membaca buku itu sama ada di kelas, bilik guru, kantin, perpustakaan mahupun di taman.

Ketika PPSMI mula diperkenalkan oleh Tun Mahathir, ambe adalah penentang kuat. Ambe marah apabila fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu seakan dihina. Kerajaan sanggup mengeluarkan peruntukan yang banyak untuk projek PPSMI ini. Ambe betul2 berasa hati apabila Bahasa Melayu dipinggirkan.

Pada tahun 2003, ambe dipilih untuk mengikuti kursus ETEMS sekaligus menjadikan ambe seorang guru sains pula. Amarah ambe terhadap kerajaan terus terpadam apabila menerima BISP iaitu elaun untuk guru PPSMI. Sedikit demi sedikit Bahasa Melayu ambe tinggalkan. Dan kini, ketika ura-ura PPSMI akan dimansuhkan, ambe diserap pula menjadi guru Bahasa Inggeris. Bahasa Melayu telah ambe tinggalkan sepenuhnya.

Bukan ambe tidak bersyukur, tapi ambe kurang berkebolehan dalam bahasa Inggeris. Sejujurnya cinta ambe adalah pada Bahasa Melayu. Ambe berasa cemburu dengan rakan-rakan yang sudah berjaya menjadi guru pakar dan pemeriksa kertas Bahasa Melayu. Ambe tidak berpeluang menjadi seperti mereka sedangkan ambe adalah guru pelatih cemerlang semasa di maktab dulu. Apakah ambe akan berjaya dalam opsyen baru ambe ini? Entahlah, ambe kurang yakin.

Dalam perjalanan pulang dari IPGM Sultan Mizan ke rumah ambe di Kuala Terengganu, ambe terpandang papan tanda Digi yang tertera “Jagalah Kebersihan Bandaraya Kami”. Ewah, ewah, ewah! Sejak bila pula bandaraya Kuala Terengganu ini milik Digi? Perasaan ambe terganggu lagi apabila menonton Buletin Utama malam tadi. PM menyampaikan ucapannya dalam Bahasa Inggeris pada rumah terbuka Wesak. Bukankah itu majlis rasmi? Kenapa tidak digunakan bahasa kebangsaan? Kenapa perlu berbahasa Inggeris untuk bercakap dengan orang bukan Melayu? Makin merimaskan apabila melihat iklan-iklan yang menggunakan pelbagai bahasa seolah-olah rakyat Malaysia ini tidak faham bahasa Melayu. 1 Malaysia konon? Mahukan kesamarataan tapi tak sanggup pula ke sekolah kebangsaan dan menggunakan bahasa kebangsaan. Di mana semangat kebangsaan kalian, bangsa Malaysia?

Walaupun ambe kini guru Bahasa Inggeris, cinta ambe adalah Bahasa Melayu. Jauh di sudut hati, ambe berharap munculnya pemimpin Negara yang berjiwa patriotik yang akan memperjuangkan maruah dan kedaulatan bahasa Melayu seperti Anwar Ibrahim suatu ketika dahulu. (Sekarang, parti Anwar yang menukarkan papan tanda jalan kepada 3 bahasa dan menghapuskan tulisan jawi)

Jangan biarkan Bahasa Melayu melayu di bumi sendiri!