Selasa, 1 Jun 2010

BAHASA meLAYU

Pada 25 hingga 27 Mei yang baru lalu, ambe telah mengikuti Kursus Pemantapan Bahasa Inggeris. Kursus berkenaan adalah untuk memantapkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam kalangan guru-guru Bahasa Inggeris bukan opsyen. Dengar cerita, selepas kursus ini kami akan diberi sijil yang melayakkan kami mengajar Bahasa Ingeris dan menerima elaun guru Bahasa Inggeris. Pemilihan kami yang dalam kalangan bukan opsyen adalah untuk mengatasi kekurangan guru Bahasa Inggeris di Terengganu. Tambahan pula, kementerian akan menambah waktu pembelajaran Bahasa Inggeris.

Sebenarnya ambe ambil pengkhususan Pengajian Melayu semasa di maktab dulu. Ambe ajar Bahasa Melayu Tahun 1 pada tahun-tahun awal ambe sebagai guru. Ambe seronok mengajar murid-murid Tahun 1 yang comel itu. Kami akan sama-sama menyanyi dan bermain. Ambe akan pastikan murid-murid ambe boleh membaca sebelum melangkah ke Tahun 2. Ketika itu buku “Bacalah Anakku” senantiasa berada di dalam beg galas ambe. Ambe akan panggil murid-murid bermasalah untuk membaca buku itu sama ada di kelas, bilik guru, kantin, perpustakaan mahupun di taman.

Ketika PPSMI mula diperkenalkan oleh Tun Mahathir, ambe adalah penentang kuat. Ambe marah apabila fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu seakan dihina. Kerajaan sanggup mengeluarkan peruntukan yang banyak untuk projek PPSMI ini. Ambe betul2 berasa hati apabila Bahasa Melayu dipinggirkan.

Pada tahun 2003, ambe dipilih untuk mengikuti kursus ETEMS sekaligus menjadikan ambe seorang guru sains pula. Amarah ambe terhadap kerajaan terus terpadam apabila menerima BISP iaitu elaun untuk guru PPSMI. Sedikit demi sedikit Bahasa Melayu ambe tinggalkan. Dan kini, ketika ura-ura PPSMI akan dimansuhkan, ambe diserap pula menjadi guru Bahasa Inggeris. Bahasa Melayu telah ambe tinggalkan sepenuhnya.

Bukan ambe tidak bersyukur, tapi ambe kurang berkebolehan dalam bahasa Inggeris. Sejujurnya cinta ambe adalah pada Bahasa Melayu. Ambe berasa cemburu dengan rakan-rakan yang sudah berjaya menjadi guru pakar dan pemeriksa kertas Bahasa Melayu. Ambe tidak berpeluang menjadi seperti mereka sedangkan ambe adalah guru pelatih cemerlang semasa di maktab dulu. Apakah ambe akan berjaya dalam opsyen baru ambe ini? Entahlah, ambe kurang yakin.

Dalam perjalanan pulang dari IPGM Sultan Mizan ke rumah ambe di Kuala Terengganu, ambe terpandang papan tanda Digi yang tertera “Jagalah Kebersihan Bandaraya Kami”. Ewah, ewah, ewah! Sejak bila pula bandaraya Kuala Terengganu ini milik Digi? Perasaan ambe terganggu lagi apabila menonton Buletin Utama malam tadi. PM menyampaikan ucapannya dalam Bahasa Inggeris pada rumah terbuka Wesak. Bukankah itu majlis rasmi? Kenapa tidak digunakan bahasa kebangsaan? Kenapa perlu berbahasa Inggeris untuk bercakap dengan orang bukan Melayu? Makin merimaskan apabila melihat iklan-iklan yang menggunakan pelbagai bahasa seolah-olah rakyat Malaysia ini tidak faham bahasa Melayu. 1 Malaysia konon? Mahukan kesamarataan tapi tak sanggup pula ke sekolah kebangsaan dan menggunakan bahasa kebangsaan. Di mana semangat kebangsaan kalian, bangsa Malaysia?

Walaupun ambe kini guru Bahasa Inggeris, cinta ambe adalah Bahasa Melayu. Jauh di sudut hati, ambe berharap munculnya pemimpin Negara yang berjiwa patriotik yang akan memperjuangkan maruah dan kedaulatan bahasa Melayu seperti Anwar Ibrahim suatu ketika dahulu. (Sekarang, parti Anwar yang menukarkan papan tanda jalan kepada 3 bahasa dan menghapuskan tulisan jawi)

Jangan biarkan Bahasa Melayu melayu di bumi sendiri!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan