Rabu, 29 September 2010

Tudung Akhir Zaman

Macam-macam fesyen tudung sekarang. Makin lama makin singkat. Makin menampakkan dada, bentuk leher, bentuk telinga dan terkini bentuk sanggul tinggi. Yang si artis pulak sibuk mempromosikan tudung berjambul dan tudung bertocang.

Nampaknya fungsi tudung bukan lagi untuk menutup aurat tetapi lebih kepada berfesyen.

Tudung Ummu Hadhari pun semakin singkat nampaknya.


Khamis, 16 September 2010

Raikan Hari Malaysia dengan Filem Indonesia



Demikianlah slogan yang dibuat oleh ASTRO untuk mempromosikan penyiaran filem Indonesia, LOVE, yang dijadualkan pada 17 September. Aku yang sedang mengunyah muruku hampir tersedak. Meraikan hari Malaysia dengan filem bangsa pembakar bendera? Tidak sensitifkah ASTRO dengan perasaan rakyat Malaysia yang terguris dengan peristiwa bakar Jalur Gemilang dan penghinaan terhadap kedutaan Malaysia di Indonesia tempoh hari? Atau ASTRO memang tidak ada semangat patriotik, hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, media Indonesia tidak jemu-jemu mengapi-apikan semangat anti Malaysia. Mereka menuding Malaysia mengklaim kebudayaan punya Indonesia seperti lagu Rasa Sayang Hei, batik, reog ponorogo, angklung, wayang kulit dan masakan rendang. Malaysia digelar sebagai pencuri budaya atau maling. Malah ikan arowana dan bunga reflesia yang “punya Indonesia” turut dimaling oleh Malaysia.

Media Indonesia juga begitu cepat menghukum Malaysia tanpa usul-periksa. Suatu ketika dahulu seluruh Indonesia dari menteri, mahasiswa hingga ke rakyat bawahan mengamuk hanya kerana kesilapan Discovery Channel memasukkan tarian pendet dalam promo Enigmatic Malaysia. Meskipun telah diperjelaskan duduk perkara sebenar, namun mereka masih menuduh Malaysia mencuri tarian mereka.

Media Indonesia juga cepat mencanangkan keburukan raja-raja Melayu hanya melalui gossip dan fitnah daripada Manohara (janda Tengku Fakhri) dan ibunya (penjenayah yang diburu polis Peranchis). Kisah suami-isteri inipun boleh dijadikan penyebab untuk “Ganyang Malaysia”. Lebih kurang ajar apabila media Indonesia memperlekeh-lekehkan lambang dan identiti negara. Lagu Negaraku dituduh telah dijiplak dari lagu Indonesia, Terang Bulan. Jalur Gemilang pula dikatakan ditiru dari bendera Amerika Syarikat. Pendek kata, apa sahaja yang boleh dikaitkan dengan Malaysia akan dimanipulasikan untuk membangkitkan sentimen anti Malaysia dalam kalangan rakyat Indonesia.

Sungguhpun media Indonesia begitu galak menyerang Malaysia, media Malaysia hanya buat bodoh sahaja. Kebanyakan rakyat Malaysia tidak tahu apa yang terjadi di sana. Karyawan dan produk mereka diangkat dan diagung-agungkan di sini. Malah ASTRO tanpa segan silu memperuntukkan satu saluran iaitu Raya, khusus untuk menyiarkan konsert artis Indonesia.

Kita tak minta media Malaysia meniru amalan media Indonesia yang suka memburuk-burukkan negara jiran. Namun, kita akan berasa lega kalau media Malaysia memainkan peranan menerangkan kedudukan sebenar dan menjawab segala tohmahan yang dilemparkan oleh media Indonesia itu. Negara kita bermaruah dan menjadi kewajiban rakyat Malaysia untuk mempertahankan maruah negara dari terus diinjak-injak oleh rakyat Indonesia.

Sekalung tahniah kepada pejuang-pejuang siber Malaysia yang melancarkan serangan dan mempertahankan kedaulatan Malaysia melalui Youtube, blog, Topix dan laman sosial. Mereka inilah yang bertungkus lumus berhujah dengan fakta, menjawab segala tohmahan dengan kesabaran dan kesungguhan. Meski berbakul-bakul makian dan carutan yang dilemparkan oleh rakyat Indonesia, mereka masih tetap bertahan demi rasa cinta yang mendalam terhadap Negara.

“Ganyang Malaysia” , meskipun hanya sebuah slogan namun tidak mustahil akan menjadi kenyataan sekiranya kita terus dilalaikan menerusi lagu-lagu dan filem-filem mereka. Sabar biarlah bertempat. Buat baik biarlah berpada-pada. Semoga Hari Malaysia yang diraikan ini mampu menyemarakkan lagi rasa cinta akan negara yang kian pudar dalam sanubari rakyat Malaysia.