Ahad, 11 Disember 2011

Mat Sabu Perlu Memohon Maaf

Ucapan Mat Sabu di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, pada 21 Ogos lalu adalah dirujuk. Tulisan ini adalah ulasan penulis berhubung beberapa dakwaan beliau.

1.Lagu Negaraku

Kata Mat Sabu lagu Negaraku diciplak dari lagu Indonesia "Terang Bulan". Yang sebenarnya melodi lagu Negaraku diambil dari lagu kebesaran Negeri Perak yang digubah oleh orang Perancis, dan liriknya ditulis anak tempatan iaitu En. Saiful Bahari. Lagu ini adalah lagu patriotik kerana lirik lagu negaraku yang ringkas dan mudah dihafal itu sarat dengan mesej kenegaraan. Lagu kebesaran Negeri Perak itu telah mula dimainkan semenjak 1888, sedangkan lagu Terang Bulan baru dimainkan pada 1920-an. Oleh itu, tidak munasabah dikatakan lagu Negaraku diciplak dari lagu Terang Bulan. Justeru, Mat Sabu perlu memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kesilapan fakta itu.

2. Filem Bukit Kepong

Filem itu didedikasikan kepada polis yang terkorban dalam tragedi tersebut. Pengarah membuat rujukan sejarah daripada pakar sejarah, penduduk setempat dan waris polis yang menjadi mangsa. Filem tersebut memanglah tidak memihak kepada Mat Indera dan pasukan komunis, namun filem tersebut tidak pula memburuk2 Mat Indera, melainkan komunis yang melakukan keganasan kepada orang awam. Ditunjukkan dalam filem itu, seorang komunis Melayu bernama "Mat" dengan wajah kesal terpaksa meneruskan serangan selepas polis enggan menyerah. Mat juga menyuruh isteri dan anak-anak polis menyelamatkan diri selepas sarjan (Jins Shamsudin) enggan menyerah. Ini menunjukkan pengarah masih menjaga sensitiviti waris Mat Indera yg dianggap pejuang oleh sesetengah pihak.

Polis-polis tersebut dianggap wira kerana keberanian mereka mempertahankan diri dari serangan komunis sehingga titisan darah terakhir. Adalah tidak masuk akal untuk polis-polis itu mengorbankan dirinya untuk kepentingan penjajah melainkan ianya untuk kepentingan anak cucu dan tanah air. Orang melayu tidak suka akan keganasan komunis, sebab itulah mereka berjuang bermati-matian menentang komunis, bukannya sebab mereka itu talibarut Inggeris. Justeru, tidak hairanlah waris polis bukit kepong sangat sakit hati dengan tuduhan Mat Sabu itu. Angkatlah Mat Indera sebagai pejuang tetapi jangan hina polis bukit kepong sebagai talibarut Inggeris. Sebagai pemimpin yang berkeperibadian muslim, Mat Sabu wajar memohon maaf kepada waris polis yang terlibat kerana mengguris perasaan mereka.

3. Sejarah membohong, guru membohong.

Ini adalah satu tuduhan yang tidak bertanggung jawab oleh Mat Sabu. Apakah sejarah yang telah dibohongkan itu? Mat Sabu perlu menyatakan pada bahagian manakah dalam buku teks sejarah Malaysia yang mengatakan Tok Janggut itu penderhaka, Dr. Burhanuddin itu pengkhianat dan "pegawai British" itu pejuang. Umum tahu bahawa perjuangan membebaskan tanah air adalah melalui penentangan dan meja rundingan. Kenyataan Mat Sabu menyebabkan orang berfikir bahawa Dato' Onn dan Tunku Abdul Rahman sebagai barua British sedangkan kita tidak boleh menuduh seseorang melalui anggapan sendiri sahaja. Maka, Mat Sabu perlulah memohon maaf kepada tokoh sejarah dan guru-guru yang mengajar sejarah kerana memfitnah mereka sebagai "pembohong", malah tuntutlah ilmu kepada mereka untuk memahami sejarah dengan lebih mendalam, bukan sekadar membaca sebuah buku biografi sahaja.

Kesimpulan

Ucapan Mat Sabu tersebut hanyalah bermotifkan politik iaitu sekadar mahu memperlekeh2kan musuh politiknya semata-mata, dan bukannya suatu wacana ilmu. Asalnya audien adalah dalam kalangan penyokong PAS/PR sahaja namun telah meluas kepada tontonan awam sejak ianya dimuat naik di youtube dan kemudiannya disiarkan di televisyen Malaysia. Ucapan beliau itu sepatutnya tidak perlu diambil berat sangat kerana beliau hanyalah ahli politik dan bukannya ahli sejarah. Namun, ucapan itu telah dimanipulasikan oleh pihak satu lagi demi meraih keuntungan politik melaluinya. Kesannya adalah kepada rakyat banyak di mana telah timbul kekeliruan, salah faham dan sakit hati. Manakala peranan dan ilmu tokoh sejarah telah tidak mahu lagi didengari. Justeru, Mat Sabu perlulah memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kecelaruan dan ketidakselesaan ini bagi menenangkan keadaan. Di samping itu, anjurkan wacana ilmu dengan menjemput pakar-pakar sejarah dalam mengupas isu berkenaan sebagai pencerahan kepada rakyat.