Selasa, 26 April 2011

Warkah Terbuka Buat DS Anwar Ibrahim

Salam buat Datuk Seri dan keluarga semoga berada dalam rahmat Allah sentiasa.

Saya seorang guru wanita di sebuah sekolah di Terengganu. Saya membesar dan menjadi dewasa pada zaman Datuk Seri menjadi Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan. Saya cukup mengagumi Datuk Seri yang saya lihat mempunyai ciri-ciri kebijaksanaan seperti Tun Mahathir dan islamik seperti TG Nik Aziz. Malaysia sangat bertuah jika memiliki seorang Perdana Menteri seperti Datuk Seri. Pelbagai fitnah yang dilemparkan selama ini tidak menggugat kepercayaan saya terhadap Datuk Seri.

Namun, sejak kebelakangan ini saya semakin bosan dengan keadaan politik negara. Saya lihat agenda menjatuhkan Anwar melebihi daripada agenda pembangunan negara dan kepentingan rakyat. Sungguh bosan dengan media arus perdana yang memanipulasikan isu Anwar pada setiap masa dan ketika. Paling mual apabila kerajaan, media dan polis seakan merestui penyebaran video seks dan kemudian menjatuhkan hukuman bersalah mendahului mahkamah dunia.

Datuk Seri, saya amat bersimpati. Sungguh bersimpati kerana pada saat-saat genting ini rakan-rakan yang dahulunya sangat rapat dan memberi sokongan moral dan material telah menjauhkan diri. Malah, mereka turut bekerjasama dengan kerajaan dalam agenda menjatuhkan Anwar. Mengikuti perjalanan bicara Liwat 2, besar kemungkinan Datuk Seri akan dihantar ke penjara semula. Saya tidak tahu dari mana datangnya kecekalan Kak Wan dan anak-anak Datuk Seri. Sedangkan saya yang tiada kena-mengena dengan Datuk Seri pun sangat resah memikirkannya.

Datuk Seri, tidak bosankah dengan keadaan politik di Malaysia? Sampai bilakah Datuk Seri mahu menahan diri dari segala fitnah dan aniaya? Tidak kasihankah kepada Kak Wan yang menanggung segala derita dicaci-maki kerana setia membela suami? Apa penting sangatkah menjadi Perdana Menteri sehingga rela maruah diri diinjak-injak dan kebahagiaan keluarga terjejas?

Datuk Seri, Kak Wan pernah meluahkan rasa bahawa tempoh bersama Datuk Seri di US selepas dibebaskan dan menjadi orang biasa merupakan detik yang sangat membahagiakan. Kenapa tidak menetap sahaja di sana? Datuk Seri masih boleh berikan buah fikiran tentang politik Malaysia melalui penulisan. Tidak perlu berdepan dengan musuh-musuh politik yang menguasai segala-galanya di Malaysia. Lebih baik tinggal bebas di bumi orang daripada terpenjara dan teraniaya di bumi sendiri. Datuk Seri telah memulakan langkah pertama, jadi biarlah orang lain pula menyambung langkah itu. Insya-Allah, perjuangan akan diteruskan.

Datuk Seri, berilah peluang kepada pemerintah menjalankan pentadbiran dengan tenang tanpa perlu takut dengan bayang-bayang Datuk Seri. Sekurang-kurangnya, mereka boleh beri tumpuan kepada pembangunan negara dan rakyat. Sekurang-kurangnya, wang rakyat tidak dibazirkan untuk menjayakan konspirasi. Sekurang-kurangnya, fitnah-mehnah yang memualkan dapat dikurangkan. Kasihan juga kepada pembaca berita TV3 yang cuma menjalanan tugas terpalit dosa kering.

Akhir kata, harap Datuk Seri fikirkan permintaan ini. Fikirkan demi kebaikan semua pihak. Mengalah bukan bermakna kalah, tetapi mencari tempat selamat untuk mengatur strategi. Semoga Allah permudahkan segala urusan Datuk Seri.

Sekian.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan