Selasa, 6 Julai 2010




Ada Apa Dengan Guru Besar?

Tengah syok-syok melayan internet, tiba-tiba guru besar menjengah pintu dan melemparkan senyuman manis. Aku yang gelabah cepat-cepat klik butang X, buat olok-olok menaip rancangan mengajar. Guru Besar berdiri di hadapan meja Zu yang duduk bersebelahan denganku. Dia bertanyakan Zu tentang prestasi murid 4B. Tanpa dipinta, guru besar memberi tip-tip mengajar Bahasa Melayu dengan berkesan, siap dengan contoh dan langkah-langkah pengajaran sekali. Aku dan Zu hanya terlopong mendengarnya. Sesekali kami mengangguk-angguk tanda setuju.

Kemudian, Guru Besar menunjukkan buku-buku yang dibelinya dan minta cikgu-cikgu menggunakannya. Guru Besar memberi penerangan cara-cara menggunakan buku-buku tersebut. Kata Guru Besar, mak ayah murid-murid di sini kurang cakna terhadap pelajaran anak-anak. Jadi, cikgulah yang perlu cari jalan supaya murid-murid menguasai pelajaran. Kata Guru Besar lagi, dia akan mengadakan bengkel cara menjawab soalan bagi murid-murid Tahun 4. Dia sendiri yang akan menjadi fasilitatornya.

Selepas itu, guru besar meminta kami merekodkan markah murid-murid untuk melihat prestasi setiap murid. Beliau keluar sebentar tetapi masuk semula dengan membawa sebuah fail. Dengan bersungguh beliau menyelak helaian-helaian dalam fail itu dan menunjukkannya. Tertera markah setiap orang murid bagi setiap ujian beserta targetnya sekali. Tak cukup dengan itu, beliau turut menggariskan cadangan penambahbaikan. Kata guru besar, dia perlu data-data itu untuk bukan semata-mata ditunjukkan kepada PPD dan JPN, tetapi juga bagi mengenalpasti kelemahan seterusnya merancang penambahbaikan bagi meningkatkan prestasi pelajar.

“Cikgu tak penat?” Isyy..laju pulak mulut ini bertanya. “Kalau kita buat kerja dengan ikhlas dan betul, kita tak akan berasa penat malah kita akan merasa keseronokan dan kenikmatan bekerja itu,” jawabnya sambil tersenyum seakan menyindir. Aku cuma tersengih. Zu bertanya pula tentang matematik. Galak pula semek seorang tu bertanya. Bingkas Guru Besar menyuruh ambil pen dan kertas untuk menerangkan cara-cara mengira pantas. Aku jeling jam di dinding. Ah, sudah pukul 2.00 petang. Ko-kurikulum akan bermula sebentar lagi sedangkan aku masih belum solat. Perlahan-lahan aku mengangkat punggung meninggalkan guru besar yang sedang rancak mengajar Zu, untuk ke bilik air.

Jauh di lubuk hati aku mengagumi wanita separuh abad itu. Dia bukan sekadar mengarah tetapi turut membantu menyelesaikan masalah. Dia langsung tidak merungut meskipun pada pandangan mata kasarku, beban yang digalasnya amat berat sekali. Bukan mudah untuk mengangkat sekolah yang terdiri daripada murid-murid biasa menjadi sekolah cemerlang KPM. Dan bukan mudah juga mengekalkan kecemerlangannya.

Tiba-tiba aku teringat akan Kak Siti dari SMK Menerong. Kata Kak Siti, dia merayu GPKnya untuk menjadi guru Bahasa Inggeris meskipun dia dari opsyen BM, semata-mata mahu mendalami ilmu itu. Begitu juga Kak Zaiton yang memohon mengikuti kursus Profisiensi BI untuk memantapkan lagi Bahasa Inggerisnya. Guru Besar, Kak Siti dan Kak Zaiton adalah contoh wanita hebat yang sangat mencintai kerjayanya. Mudah-mudahan Allah berikan kekuatan kepadaku untuk menjadi seperti mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan