Sabtu, 24 Julai 2010

Ada Apa Dengan Haziq?
Pagi ni Haziq buat hal tak mau pergi sekolah lagi. "Please, mak. Hari ni je. Haziq janji esok Haziq pergi sekolah," rayu Haziq. "Jangan nak mengada-ngada. Mandi cepat!!!" Jerkah saya sambil menjengilkan mata. Haziq mencok tetapi tetap menuruti arahan bimbang punggung birat lagi dilibas 'hanger'.

Haziq masih menangis semasa menjamah roti sekaya membuatkan hatiku cair. Aku merapati Haziq dan bertanya dengan lembut. Kata Haziq, rakan sekelasnya selalu pukul. Minggu lepas rakannya itu mengugut mahu membawa geng dan abangnya untuk memukul Haziq. Sebab itu Haziq takut hendak ke sekolah.

"Kenapa Haziq tak mengadu kepada cikgu?" tanyaku lembut sambil mengusap rambut anak bongsu kesayanganku itu. " Haziq dah beritau tapi cikgu tak layan"balas Haziq. Sebagai guru aku faham masalah guru Haziq. Kadang-kadang murid-murid begitu sukar dikawal. Hari ni marah, esok buat lagi. Kadang-kadang cikgu tidak terlayan setiap aduan daripada murid-muridnya.

"Okey, macam ni. Nanti mak suruh kakak beritau guru besar. Biar guru besar nasihatkan budak itu. Haziq jangan bimbang lagi. Sekarang Haziq pergi sekolah. Kalau ada masalah cepat-cepat beritau kakak." Aku berjaya memujuk dan meyakinkan Haziq untuk ke sekolah.

Pulang dari sekolah, aku bertanya reaksi guru besar. Aku sangat terkejut apabila diberitahu Haziq, Guru Besar menampar dan menyepaknya. Guru besar tuduh Haziq menipu. Haziq tidak dibuli tetapi hanya diugut. Haziq cuma tersalah istilah "buli" dengan "ugut" dan hasilnya dia ditampar dan disepak??? Masakan budak sekecil Haziq dapat membezakan antara "buli" dan "ugut"?

Tujuan aku meminta anak mengadu kepada guru besar adalah untuk menjamin keselamatannya di sekolah. Supaya dia tidak lagi takut ke sekolah. Bukannya untuk membela anak sendiri dan menuduh-nuduh anak orang. Harapan saya agar pihak sekolah dapat menyelesaikan masalah murid. Menampar dan menyepak hanya menakutkan murid untuk ke sekolah. Pada lain masa, murid tidak akan berani lagi mengadu kepada guru besar sekiranya mereka diancam atau diugut.
Aku rasa bersalah kepada Haziq. Aku sangkakan tindakan ku akan menyelesaikan masalah Haziq, namun sebaliknya pula berlaku. Dia tidak dibelasah rakannya tetapi dipukul pula oleh guru besar. Hari ini anakku mendapat pengajaran baru. Kalau diancam atau diugut, jangan sekali-kali mengadu kepada guru besar!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan