Selasa, 11 Januari 2011

KAFA : Kualiti atau Kuantiti?


Bermula tahun ini kelas al-quran dan fardhu ain (kafa) telah ditambah waktu pembelajarannya. Jika tahun-tahun sudah waktu kafa ialah 3 hari seminggu dan 2 setengah jam setiap sesi, tahun ini waktunya ditambah menjadi 5 hari seminggu dan 3 jam setiap sesi. Penambahan waktu kafa mungkin disebabkan kenaikan elaun guru kafa seperti yang diumumkan oleh PM semasa bajet 2011. Sungguhpun demikian, kadar bayaran untuk guru kafa telah dikurangkan daripada RM21 sejam kepada RM13 sejam.

Pertambahan waktu kafa ini seharusnya mendatangkan kebaikan kerana murid-murid diberikan pendidikan agama secukupnya di samping mengelakkan mereka membuang masa dengan sia-sia di rumah. Ibu bapa yang bekerja pasti tersenyum lebar kerana tidak perlu lagi mengupah pengasuh atau taska untuk jagaan harian anak. Namun demikian, perlaksanaan tanpa perancangan teliti akan menyebabkan segala usaha itu sia-sia.

Cuba bayangkan keadaan anak-anak yang perlu berada di sekolah sehingga jam 5 petang. Belajar dalam kelas yang panas dan bingar serta terpaksa pula menyalin nota yang kadang-kadang mereka sendiripun tak faham. Pada waktu malam pula, perlu mengaji Al-Quran dan selepas itu menyiapkan kerja rumah. Bagaimana dengan makan minum mereka sepanjang berada di sekolah? Adakah mereka mendapat khasiat yang secukupnya? Adakah pengajaran guru-guru kafa yang tidak terlatih dan kadang-kadang tidak berbakat itu berkesan kepada anak-anak? Sedangkan guru-guru agama sepenuh masa berasa lelah kerana terpaksa mengajar dari pagi hingga petang.

Pihak pengurusan kafa diharap dapat meningkatkan kualiti kafa dan tidak hanya memandang kepada kuantiti semata-mata. Pada peringkat sekolah rendah, apa yang perlu dititikberatkan ialah praktikal solat, tasmik serta membaca dan menulis jawi. Pastikan murid-murid menguasai tiga perkara ini terlebih dahulu manakala perkara-perkara lain bolehlah digabungjalinkan. Gunakan pendekatan yang berpusatkan kepada murid supaya murid tidak bosan. Kelas perlu berjalan dengan keadaan yang lebih santai dan menyeronokkan. Latihan dan penyeliaan guru-guru kafa juga hendaklah dipertingkatkan.
Selain itu, pihak pengurusan kafa perlu menyediakan makanan dan minuman untuk murid-murid kafa. Ini penting bagi memastikan mereka sentiasa bertenaga untuk meneruskan pembelajaran. Bagi tujuan ini, pihak pengurusan kafa bolehlah berbincang dengan PIBG bagi mendapat penyelesaian terbaik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan