Sabtu, 19 Disember 2009


Seragam yuran sekolah- KPM diminta campur tangan

Kementerian Pelajaran diminta campur tangan dalam menetapkan kadar yuran di semua sekolah kebangsaan supaya ia seragam dan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan.

Desakan itu dibuat oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setelah timbul kekeliruan dan tanda tanya berikutan kadar yuran sekolah berbeza-beza sedangkan semuanya di bawah seliaan Kementerian Pelajaran.

Pada masa ini yuran di sekolah-sekolah kebangsaan dikatakan ada yang serendah RM23 dan ada pula mencecah RM100 seorang.

Kadar itu berbeza-beza mengikut kawasan contohnya, ada sekolah di kawasan Seremban mengenakan yuran RM75, Shah Alam (RM54), Tapah (RM50) dan Cameron Highlands (RM23.20).

Menurut Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), yuran sekolah rendah yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran adalah RM20 (meliputi yuran asas sekolah, peperiksaan dan perpustakaan).

Sehubungan itu, kementerian diminta mengeluarkan pekeliling khas kadar yuran seragam di semua sekolah kebangsaan supaya ibu bapa terutama yang berpendapatan rendah tidak dibebankan dengan yuran tinggi.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional, Prof. Madya Dr. Mohd. Ali Hassan berkata, kementerian perlu bertindak segera kerana dikhuatiri perkara itu akan memberi kesan kepada ibu bapa khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

CgLyn : Baguslah kalau selaraskan yuran. Kadang2 kadar yang ditetapkan tidak munasabah dan membebankan ibu bapa. Kadang2 pihak pentadbir salah guna duit itu bagi tujuan menceriakan sekolah atau sesuatu projek yang bukan melibatkan aktiviti pelajar. Ada juga sekolah yang menekan pelajar yang tidak membayar yuran. Ada juga kes pelajar dianiaya kerana mengadu kepada ibu bapa tentang tindakan "memeras ugut" pihak sekolah. Semoga mereka yang terlibat itu segera insaf. Ingatlah, pelajar dan ibu bapa itu adalah klien yang perlu dilayan sebaik mungkin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan